Lelaki positif Covid-19 larikan diri dari PKRC di Kudat

No Image Caption
A
A
A

KUDAT - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Rest House Kudat pada Isnin lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 50 tahun itu dimasukkan ke PKRC daerah ini pada 27 Jun selepas ujian calitan dilakukan terhadapnya disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, usaha mengesan suspek dilakukan dengan mengambil kira setiap aspek terlibat termasuk maklumat yang diperoleh.

"Siasatan awal mendapati suspek dimasukkan ke PKRC daerah ini sejak 27 Jun lalu dan akan ditempatkan di pusat kuarantin terbabit sehingga 6 Julai (Selasa).

"Bagaimanapun, suspek dipercayai bertindak keluar dari PKRC kira-kira jam 5.54 petang pada 5 Julai dengan mengambil kesempatan melarikan diri semasa pintu pagar dibuka bagi memberi laluan kepada bas yang membawa pesakit baru ke pusat berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mohd Firdaus berkata, siasatan berhubung kejadian itu dan usaha mengesan suspek diteruskan.

"Suspek kini sedang dikesan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Kawalan Penyakit berjangkit," katanya.

Artikel Berkaitan: