Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin bukti kerajaan mahu negara diurus baik

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri membuktikan pentadbiran kerajaan mahu negara diuruskan dengan sebaiknya di samping mengenepikan soal politik yang tidak memberi manfaat dalam suasana mencabar ketika ini.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu juga dilihat langkah tepat untuk memberi fokus kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang mengambil tempat dalam menguruskan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan yang akan menguruskan Kluster Keselamatan juga perlu dilihat dalam konteks sama.

"Marilah kita bersama-sama dalam suasana mencabar ketika ini untuk berganding bahu dan tidak terlalu berpolitik sedangkan rakyat sangat terkesan dan memerlukan perhatian.

"Apabila tiba masanya berpolitik kelak termasuklah pilihan raya, marilah kita meraikannya tetapi buat masa ini, marilah kita memberikan perhatian kepada permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian termasuk usaha kita memberi vaksinasi secara lebih agresif lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Faizal dalam masa sama turut menzahirkan ucapan tahniah dan selamat berkhidmat kepada kedua-dua pemimpin UMNO itu.

"Saya mewakili Bersatu menyokong penuh pelantikan ini," katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Rabu mengumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Husseinsebagai Menteri Kanan Luar Negeri dan akan mengetuai Kluster Keselamatan berkuatkuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan tersebut telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Ismail Sabri akan membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat tatkala negara sedang menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi pada masa ini.