JPN galak orang ramai manfaat Mekar

Saiful Yazan (dua dari kanan) menyerahkan MyKad kepada Mat Sani di rumahnya di Kampung Parit Haji Tahir di sini pada Rabu.
Saiful Yazan (dua dari kanan) menyerahkan MyKad kepada Mat Sani di rumahnya di Kampung Parit Haji Tahir di sini pada Rabu.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggalakkan orang ramai memanfaatkan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang diwujudkan sebelum ini dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Saiful Yazan Alwi berkata, program berkenaan diwujudkan sejak lima tahun lalu untuk memudahkan rakyat di kawasan luar bandar mendapatkan perkhidmatan JPN.

Menurut beliau, antara perkhidmatan tersebut seperti pendaftaran kelahiran, kematian, kehilangan kad pengenalan serta khidmat nasihat untuk mereka.

“JPN sentiasa berusaha membantu masyarakat yang mempunyai kekangan untuk hadir berurusan ke pejabat JPN dengan adanya program turun padang dan Mekar supaya golongan sasar akan mendapat manfaat dari program ini.

"Kita sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan MyKad gantian kepada seorang warga emas, Mat Sani Awang, 75, di Kampung Parit Haji Tahir di sini pada Rabu.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPN, Datuk Saadon Othman dan Pengarah JPN Perak, Raja Azlal Raja Azman.

Mengenai isu ketiadaan MyKad Mat Sani itu, beliau berkata, isu itu berjaya diselesaikan pihaknya dalam masa singkat.

Menurut Saiful Yazan, maklumat mengenai warga emas tersebut tular di media sosial pada 3 Julai 2021 dan kemudian JPN Perak mengambil tindakan proaktif dengan menemui Mat Sani pada 5 Julai 2021.

Artikel Berkaitan:

"Melalui program Mekar, JPN telah membantu Mat Sani Awang dalam proses kad pengenalannya dan hari ini kita datang untuk serahkan MyKad yang telah siap kepadanya.

"Pemberian kad pengenalan ini diharap dapat meringankan beban dan kesukaran memohon bantuan sebelum ini," katanya

Sementara itu, Mat Sani yang ditemui meluahkan rasa gembira selepas menerima MyKad tersebut.

Katanya, setelah sekian lama lebih 50 tahun tidak memiliki MyKad akhirnya diterima menerusi program Mekar JPN

"Alhamdulillah, lepas ini bolehlah saya mohon bantuan bila ada MyKad ini. Selama ini harap bantuan daripada jiran-jiran.

"Terima kasihlah kepada JPN yang membantu saya mendapatkan semula MyKad," katanya.

Kisah Mat Sani sebelum ini tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen pada 3 Julai 2021.