Mayat reput di Bukit Yong disahkan wanita

Mayat reput dan berkecai yang ditemui di Bukit Yong petang Jumaat lalu disahkan seorang wanita dianggar berumur lingkungan dari 20 hingga 30 tahun. - Foto hiasan
Mayat reput dan berkecai yang ditemui di Bukit Yong petang Jumaat lalu disahkan seorang wanita dianggar berumur lingkungan dari 20 hingga 30 tahun. - Foto hiasan
A
A
A

MACHANG - Mayat reput dan berkecai yang ditemui di Bukit Yong petang Jumaat lalu disahkan seorang wanita dianggar berumur lingkungan dari 20 hingga 30 tahun.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, hasil bedah siasat mendapati wanita tersebut patah semua tulang rusuk, patah tulang tumit kaki namun tidak mengalami sebarang kecederaan di kepala.

"Mengikut doktor pakar, wanita ini dipercayai mati lebih kurang sebulan lalu dan mayat mangsa juga tidak berpakaian semasa ditemui di lokasi berkenaan.

"Sebelum ini kes disiasat di bawah siasatan mati mengejut, namun selepas mendapat laporan bedah siasat, kita siasat atas kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, pada Rabu.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan wanita itu tidak keseorangan semasa masuk ke kawasan berkenaan sebaliknya mungkin berdua atau bertiga.

Katanya, jarak lokasi tersebut dengan jalan luar adalah lebih kurang lima kilometer iaitu 45 minit dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda.

"Doktor tidak dapat mengenal pasti sebab tulang wanita tersebut patah sama ada akibat jatuh atau dipukul. Namun kami percaya, wanita berkenaan bukan mati di tempat dia ditemui. Kita masih siasat perkara ini," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan orang hilang, Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan di Balai Polis Ketereh pada 16 Jun lalu dan pihaknya memanggil keluarganya untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan seorang wanita yang didakwa sebagai orang kurang upaya (OKU) lembam dan DNA keluarga sudah diambil untuk siasatan dan keputusannya akan dimaklumkan dalam tempoh dua minggu.

"Buat masa sekarang pihak yang kehilangan anggota keluarga boleh tampil membuat laporan bagi membantu siasatan," katanya.