Inkues Adib: Muhammad Adib akui dipukul - Pakar perubatan

Datuk Dr Mohamed Ezani Taib
Datuk Dr Mohamed Ezani Taib
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pernah mengakui dia dipukul dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman USJ, November lalu.

Perkara itu didedahkan Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik Institusi Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Mohamed Ezani Taib pada prosiding hari kelapan Inkues Kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner, hari ini.

Mohamed Ezani berkata, Muhammad Adib mengangguk ketika menjawab soalan salah seorang pasukan perubatan yang memantau dan merawat anggota bomba itu di IJN.

"Asyraf bertanya adakah dipukul dan Muhammad Adib mengangguk kepalanya," katanya.

Menurutnya, beliau mengetahui perkara itu selepas kematian Muhammad Adib.

"Asyraf memberitahu saya pada Krismas (25 Disember) lalu dan saya meminta dia merujuk kepada peguam," katanya pada Pemeriksaan Utama oleh Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin.

Bagaimanapun, Muhammad Adib memberi respon berbeza ketika ditemubual oleh pegawai penyiasat.

"Dia hanya menggelengkan kepalanya ketika pegawai polis itu bertanya adakah Muhammad Adib mengingati kejadian tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau terus berkomunikasi dengan Muhammad Adib sekitar sehingga enam hari selepas itu.

"Muhammad Adib tidak dapat bercakap kerana mempunyai tiub di dalam mulutnya dan hanya berkomunikasi dengan bahasa isyarat serta menulis," katanya.

Menurutnya, keadaan Muhammad Adib semakin baik.

"Dia memberi maklum balas ketika kami memanggil namanya dan boleh menggerakkan anggota badan.

"Dia menulis di papan putih dan mahukan telefon bimbitnya," katanya.

Biarpun menunjukkan pemulihan, keadaan Muhammad Adib tiba-tiba merosot pada 14 Disember apabila gagal mengekalkan tahap oksigen dalam badan.

"Pada 15 Disember, keadaannya semakin merosot dan kami perlu menggerakkan mesin extracorporear membrane oxygenation (ECMO) untuk menstabilkan tahap oksigen dan tekanan darahnya.

"Sehari selepas itu, keadaannya bertambah memburuk walaupun semua rawatan telah diberikan dan akhirnya dia meninggal pada hari berikutnya," katanya.

Mohamed Ezani, 54, merupakan saksi ke 14 inkuiri tersebut dan berlangsung di hadapan Koroner, Rofiah Mohamad.