Unit Kumpulan Perangsang jual hartanah RM22.5 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak syarikat milik penuh tidak langsung Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS), Toyoplus Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd (TMM) menjual tiga bidang tanah pegangan pajak di Plentong, Johor Bahru yang beserta dengan bangunan kilang dengan harga RM22.5 juta.

KPS berkata, penjualan tanah kepada Wiley Development Sdn Bhd itu dijangka mengumpulkan hasil tunai bersih sebanyak RM20.3 juta yang mana RM16 juta akan digunakan oleh TMM untuk membiayai sebahagian usaha pengembangannya ke Vietnam manakala bakinya dijadikan sebagai modal kerja kumpulan.

“Penjualan itu akan membolehkan kumpulan KPS menjana keuntungan daripada asetnya yang belum digunakan dan menjana tunai yang akan disalurkan bagi tujuan lain termasuk membiayai perbelanjaan modal yang dirancang sejajar dengan pelan perniagaan kumpulan KPS,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

KPS yang majoritinya dimiliki oleh kerajaan negeri Selangor berkata penjualan itu juga menyediakan peluang bagi TMM untuk menumpukan kepada perniagaan terasnya iaitu pembuatan, tanpa perlu memperuntukkan sumbernya bagi penyenggaraan harta yang tidak digunakan.

Mengikut laporan tahunan terbaharu KPS, TMM adalah penyedia pengacuan suntikan plastik yang mempunyai tujuh kilang pembuatan di Malaysia, Vietnam, China dan Indonesia.

Penjualan itu yang disasarkan selesai pada suku keempat tahun ini, dijangka membawa keuntungan bersih RM12.8 juta berikutan perbezaan antara jumlah harga penjualan dan nilai bersih hartanah selepas menolak anggaran cukai keuntungan hartanah sebenar, cukai pendapatan korporat yang perlu dibayar, bayaran guaman dan lain-lain kos. - Bernama

Artikel Berkaitan: