Isytihar tamat Perang Korea, agenda sidang kemuncak kedua?

Kawalan keselamatan diperketatkan di pintu masuk stesen kereta api Dong Dang di mana Jong-un dijangka tiba menjelang sidang kemuncak kedua AS-Korea Utara. - Foto AFP
A
A

SEOUL - KOREA SELATAN . Pejabat presiden Korea Selatan pada Isnin memaklumkan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara dijangka mencapai persetujuan untuk mengisytiharkan berakhirnya Perang Korea 1950-53 dalam sidang kemuncak kedua di Vietnam pada minggu ini.

"Terdapat kemungkinan ke arah itu," kata jurucakapnya, Kim Eui-kyeom ketika ditanya sama ada pengisytiharan berakhirnya perang di Semenanjung Korea akan menjadi salah satu agenda sidang kemuncak tersebut.

Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un akan bertemu di Hanoi pada Rabu dan Khamis ini, kira-kira lapan bulan selepas sidang kemuncak bersejarah di Singapura yang menyaksikan kedua-duanya mencapai persetujuan dengan langkah nyahnuklear di Semenanjung Korea.

Semalam, jutawan hartanah tersebut memaklumkan beliau gembira selagi Pyongyang terus menghentikan ujian senjata.

"Saya tidak mahu tergesa-gesa dan mendesak sesiapa. Asalkan tiada ujian senjata," katanya kepada gabenor di Rumah Putih. - Reuters