X

Kindly register in order to view this article
!

CIMB, Bank Rakyat umum moratorium mulai hari ini

CIMB dan Bank Rakyat umum moratorium mulai hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk perniagaan mikro di bawah CIMB Bank Bhd serta CIMB Islamic Bank Bhd boleh memilih moratorium selama enam bulan dengan kelulusan automatik bagi meringankan beban aliran tunai mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

CIMB dalam satu kenyataan berkata, pelanggan juga diberi opsyen untuk pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan ke atas kemudahan kredit merangkumi gadai janji, pinjaman/pembiayaan ASB dan kemudahan kredit kadar pembolehubah.

"Pelanggan juga boleh memilih moratorium tiga bulan untuk kemudahan sewa beli manakala bagi kad kredit, pelanggan boleh menukar baki tertunggak mereka kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh tiga tahun dengan kadar faedah/keuntungan yang dikurangkan untuk membantu mereka menguruskan hutang dengan lebih baik," katanya.

Bagi memastikan pelanggan dapat mengakses program bantuan pembayaran dengan mudah, CIMB telah menyediakan borang digital yang boleh didapati di halaman sokongan Covid-19 melalui https://www.cimb.com.my/covid19support.

"Pelanggan juga boleh memilih masuk melalui e-mel, telefon atau datang ke cawangan bank bagi program bantuan pembayaran atau membincangkan bantuan kewangan lain," katanya.

Sementara itu, Bank Rakyat turut mengumukan tawaran bantuan moratorium selama enam bulan kepada pelanggannya bermula hari ini, seiring dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata permohonan terbuka kepada pelanggan individu, perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik Covid-19 tanpa memerlukan sebarang dokumen dan kelulusan automatik akan diberikan sebaik sahaja diterima, tertakluk kepada semakan serta kelulusan pihak bank.

“Selain itu, rekod laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan juga tidak akan terjejas sekiranya mereka memilih untuk menangguhkan bayaran pembiayaan mereka,” katanya dalam kenyataan yang berlainan.

Bagaimanapun, moratorium automatik ini hanya ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan tidak tertunggak lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan moratorium diserahkan kepada bank.

Bermula hari ini, pelanggan individu dan mikro Bank Rakyat boleh memohon bantuan moratorium melalui borang elektronik yang disediakan melalui https://cv19-support.bankrakyat.com.my/ manakala pelanggan PKS diminta menghubungi pengurus hubungan bank atau Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil Sederhana dan Koperasi bagi mendapatkan bantuan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!