Seremban, 18 lokaliti di empat negeri lain dikenakan PKPD

PKPD akan dilaksanakan di seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan mulai Jumaat hingga 22 Julai.
PKPD akan dilaksanakan di seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan mulai Jumaat hingga 22 Julai.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sejumlah 18 lokaliti melibatkan Johor, Sabah, Kelantan dan Pahang serta seluruh daerah di Seremban dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 9 Julai sehingga 22 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lapan mukim bagi Seremban yang terlibat seperti Ampangan, Labu, Lenggeng, Pantai, Rantau, Rasah, Seremban dan Setul.

Beliau berkata, hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati daerah tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 5,5054 kes setakat 4 Julai.

“KKM juga mengesahkan penularan kes masih berlaku dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti sekali gus memerlukan kaedah pemutusan jangkitan dengan segera.

“Pelaksanaan PKPD ini turut mengawal pergerakan penduduk di kesemua mukim yang terlibat serta mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, 18 lokaliti itu melibatkan lapan di Johor, Sabah (enam), Kelantan (dua) dan Pahang (satu).

Mengulas lanjut, Ismail berkata, lapan lokaliti di Senai,Johor melibatkan Kawasan Perindustrian Indahpura, Kawasan Industri Senai Fasa 1,2,3,4, Taman Perindustrian Senai, Taman Perindustrian Murni Senai dan Senai Airport City (SAC).

“KKM mengesahkan terdapat tujuh kluster melibatkan kesemua lokaliti tersebut dengan jumlah kes sangat tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah melibatkan Kampung Sungai Imam, Tawau; Kampung Lembising, Kampung Dumpil Keramat, Putatan; Kondominium One Borneo, Kota Kinabalu; Kampung Balibata, Beaufort; Kampung Pintasan, Kota Belud dan Kampung Istimewa Batu Sapi, sandakan.

Tambahnya, PKPD dikenakan bagi Kuarters Pekerja Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) Gebeng Kuantan, Pahang serta Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf, Kota Bharu Kelantan.

“Pelaksanaan PKPD akan membantu aktiviti pengesanan kes dan saringan kontak dengan berkesan supaya kes dan kontak dapat diasingkan dengan segera serta untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan Sabah dan Kelantan dijadualkan tamat pada 8 Julai ini.

“Penamatan PKPD di Sabah membabitkan Kampung Tahak, Membakut Beaufort; Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud; Kampung Kukut, Beaufort dan di Kelantan, Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin Kota Bharu,” katanya.

Pada masa sama, 635 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang merekodkan 590 dikompaun manakala 45 direman.