Kempen 'kerajaan gagal' tepat, kata Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah. - Foto Sinar Harian
Tengku Razaleigh Hamzah. - Foto Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan kempen kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal yang digerakkan secara maya oleh beberapa pihak sebelum ini adalah tepat bagi menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku ketika ini.

Beliau berkata, keadaan itu dapat dilihat apabila ramai yang terkesan dengan tindakan yang dilakukan kerajaan itu.

"Saya tidak terpengaruh (dengan kempen di media sosial) tetapi saya dari kawasan pedalaman mewakili Gua Musang dan di situ tidak banyak peluang-peluang pekerjaan melainkan perladangan, berniaga secara kecil-kecilan.

"Jadi saya memang berasa sangat perasaan orang ramai yang menghadapi masalah hidup sekarang.

"Gagal itu tepat sekali. Bagi mendefinisikan keadaan sekarang oleh sebab banyak rancangan yang diperkenalkan oleh kerajaan sekarang tetapi ke mana pergi duit jutaan ringgit diperuntukkan untuk menolong orang di kedai-kedai yang tutup sekarang dan orang yang bekerja di tepi jalan," katanya pada program Bersama Ku Li yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kempen #kerajaangagal yang digerakkan secara maya oleh beberapa pihak sebelum ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li turut menyentuh bahawa kerajaan PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin terhimpit dengan pelbagai kontroversi termasuklah isu keabsahan.

Katanya, bersandarkan dengan pelbagai kontroversi yang melanda itu, beliau berpandangan adalah sukar untuk kerajaan PN diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa kerajaan sekarang ada masalah besar antaranya soal keabsahan (di mana) selagi perdana menteri (Muhyiddin) walaupun dilantik dengan sah oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tetapi belum diuji di Parlimen," katanya.