Jeritan jiran selamatkan tujuh beranak

Kejadian kebakaran menyebabkan sebuah kediaman yang dihuni tujuh sekeluarga musnah dipercayai akibat terkena panahan petir dalam kejadian di Kampung Simpang Rawai, Bukit Payong, Marang pada Selasa.
Kejadian kebakaran menyebabkan sebuah kediaman yang dihuni tujuh sekeluarga musnah dipercayai akibat terkena panahan petir dalam kejadian di Kampung Simpang Rawai, Bukit Payong, Marang pada Selasa.
A
A
A

MARANG - Jeritan jiran yang ternampak percikan api di bahagian atas sebuah rumah dua tingkat berjaya menyelamatkan tujuh sekeluarga termasuk seorang bayi berusia 11 hari daripada menjadi korban dalam kebakaran di Kampung Simpang Rawai, Bukit Payong, di sini pada Selasa.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 6.30 petang itu dipercayai berpunca daripada panahan petir ketika kejadian ribut melanda kampung berkenaan.

Mangsa, Rahmat Mat Rani, 57, berkata, ketika kejadian, dia bersama cucunya yang berusia 11 hari itu serta dua anak dan menantu berada di ruang tamu.

Menurutnya, mereka menyedari kediaman itu terbakar selepas terdengar jeritan seorang jiran memberitahu ternampak api di bahagian tingkat atas rumah.

"Masa kejadian saya bersama cucu, anak dan menantu duduk di ruang tamu, ketika itu hujan agak lebat dan bekalan elektrik tiba-tiba terputus, dalam masa yang sama kedengaran bunyi petir yang begitu kuat berserta kilat.

"Kami segera keluar menyelamatkan diri setelah dengar jiran menjerit memberitahu berlaku kebakaran di tingkat atas rumah," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Salma Jusoh berkata, dia kebetulan ternampak percikan api dari tingkat atas rumah berkenaan lalu segera menjerit meminta penghuninya menyelamatkan diri.

"Dari jauh saya nampak seperti ada percikan api dari tingkat atas rumah dan saya mengagak berlaku kebakaran. Saya segera panggil ahli keluarga dalam rumah itu supaya semua keluar sebelum api merebak.

Artikel Berkaitan:

"Mujurlah semuanya sempat menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Pegawai Bomba Kanan 1, Ahmad Fatah Abdul Rahman berkata, seramai 23 anggota dan empat jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 petang.

Katanya, kebakaran itu berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit.

"Kita akan jalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian," katanya.