Johor benarkan solat Jumaat, fardu, Aidiladha dengan had jumlah jemaah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan menghadkan jumlah jemaah bermula 9 Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin, pada Rabu.

Menerusi kenyataan itu, bilangan jemaah masjid bagi solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha bagi semua masjid di negeri ini ditetapkan 50 orang.

"Ia terdiri daripada kalangan imam, bilal dan noja, ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah yang digilirkan di kawasan itu sahaja.

"Bagi surau Jumaat dan surau Jumaat sementara, bilangan jemaah adalah 20 orang daripada kalangan imam, bilal dan noja, ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah yang digilirkan di kawasan itu sahaja.

"Ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau dan jemaah yang hadir ke masjid atau surau adalah yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 kecuali kepada imam, bilal dan noja yang bertugas," kata kenyataan itu.

Menurutnya, bagi solat fardu lima waktu untuk masjid dan surau, bilangan jemaah adalah 20 orang daripada kalangan imam, bilal dan noja, ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah di kawasan itu sahaja.

Katanya, syarat dua dos lengkap suntikan vaksin Covid-19 perlu dipenuhi ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau serta jemaah yang hadir ke masjid atau surau, kecuali kepada imam, bilal dan noja yang bertugas.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana jemaah lelaki yang mukallaf dan tidak mendapat giliran hadir solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat, hendaklah menunaikan solat fardu Zohor di rumah.

"Mereka juga tidak dibenarkan berada di tempat awam seperti pusat beli-belah, pusat rekreasi ketika waktu solat Jumaat kerana akan menimbulkan fitnah kepada agama Islam.

"Jabatan Agama Islam Negeri Johot ( JAINJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hendaklah membuat pemantauan SOP (prosedur operasi standard) masjid dan surau. Masjid dan surau yang didapati melanggar SOP hendaklah ditutup," kata kenyataan itu.

Jelasnya, solat jenazah (bukan kes Covid-19) di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan bilangan jemaah tidak melebihi 20 orang.

"Bagi aktiviti ziarah tanah perkuburan Islam dalam tempoh PKP adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP.

"Kehadiran semasa pengebumian jenazah adalah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 50 orang tidak termasuk petugas tanah perkuburan dengan syarat bukan jenazah pesakit Covid-19," kata kenyataan itu.

-e