Program Bakul Makanan bukan kempen politik: MCW

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengingatkan bahawa peruntukan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen bagi program Bakul Makanan bukanlah kempen politik untuk mendapat sokongan pengundi.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, tiada logo parti atau gambar pemimpin yang boleh dilekatkan pada bakul tersebut.

Menurutnya, peruntukan itu adalah daripada kerajaan pemerintah dan menggunakan wang cukai rakyat.

“Pembekalan bakul perlu diberi secara telus kepada pembekal yang bukan terdiri daripada kroni atau keluarga ahli Parlimen tersebut.

“Ia juga mesti diberi kepada rakyat yang memenuhi syarat dan bukan berdasarkan sokongan parti, bangsa, agama atau kesetiaan kepada puak tertentu.

“Kerajaan wajar sediakan garis panduan jelas berdasarkan semua perkara tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada 1 Julai, peruntukan sebanyak RM300,000 kepada ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi memperkasakan program Bantuan Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) telah mula dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Jais berkata, pembekalan mestilah diberi peluang kepada peniaga tempatan yang sanggup memberi tawaran terbaik.

Artikel Berkaitan:

“Langkah penjimatan termasuk kos pengagihan dan pengangkutan wajar ditanggung sendiri oleh ahli Parlimen tersebut bagi memaksimumkan bantuan untuk rakyat yang dalam kesusahan,” ujarnya.

Beliau berkata, bantuan tersebut harus diagihkan secara menyeluruh dan tidak terhad kepada pesakit Covid-19 sahaja.

Jelasnya, pengagihan perlu dijalankan secara terbuka di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Pejabat Daerah atau Penghulu sahaja dan penerima harus mendaftar untuk tujuan pelaporan.

“Ahli MCW dan anggota masyarakat di seluruh negara disaran untuk memantau dan melaporkan sebarang ketirisan yang berlaku agar tindakan segera dapat dibuat.

“Jumlah barangan, berat, kualiti dan tarikh tamat tempoh serta proses pengagihan perlu diperhatikan,” katanya.