Sultan Perak perkenan benarkan jemaah solat ikut keluasan masjid, surau

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan semua masjid dan surau di negeri ini menerima jemaah mengikut keluasan dewan solat dengan pematuhan jarak fizikal yang ditetapkan.

Kebenaran itu berkuat kuasa mulai solat Maghrib pada Khamis ini selari dengan tempoh Pelan Pemulihan Negara Berfasa bagi semua solat fardu, solat Jumaat, solat jenazah dan solat sunat Aidiladha.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, ketetapan itu dibuat selepas baginda dipersembahkan dan berpuas hati dengan keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid mematuhi dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Menurutnya, Sultan Nazrin juga berkenan menitahkan semua surau, termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang, mendirikan solat Jumaat agar seramai mungkin jemaah berpeluang menunaikan solat Jumaat.

"Kebenaran solat sunat Aidiladha juga diberikan diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan-kawasan perumahan dengan memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha kepada balai polis atau pondok polis terdekat.

"Solat fardu dan sunat Aidiladha dibenarkan kepada jemaah lelaki dan wanita warga Malaysia berusia 12 tahun ke atas sementara solat Jumaat dan solat jenazah untuk jemaah lelaki sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mohd Annuar berkata, kumpulan berisiko tinggi terutama kalangan yang menghidap penyakit tertentu, dinasihatkan tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau.

Katanya, sebarang majlis jamuan dalam masjid dan surau, merangkumi pekarangan masjid dan surau masih tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi masjid dan surau yang terletak dalam kawasan diisytiharkan dalam kategori Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), adalah tidak dibenarkan mengadakan sebarang aktiviti termasuk mendirikan solat Jumaat, fardu, solat sunat Aidiladha dan solat jenazah.

"Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan garis panduan terperinci kepada semua jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, di samping bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, kuasa budi bicara telah diberikan kepada Orang Besar Jajahan bersama Pegawai

Daerah dan Pegawai Tadbir Agama Daerah untuk mengarahkan masjid dan surau dalam mana-mana kariah atau mukim ditutup sementara dan tidak dibenarkan mendirikan solat sekiranya mendapat nasihat atau maklum balas daripada MKN, Jabatan Kesihatan dan polis ada berlakunya penularan wabak dalam kariah berkaitan.

Jelas Mohd Annuar, baginda memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah ALLAH dan beribadah secara berjemaah dan titah perkenan baginda menetapkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

"Dalam memenuhi hasrat tersebut, baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan kesihatan para jemaah serta menimbangkan tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan terutamanya kakitangan Kementerian Kesihatan," katanya.