Peniaga durian di Perak boleh mohon rentas daerah, negeri

Mior Faridalathrash pada sidang akhbar Op Patuh Team Pemantau Bersepadu Ketua Polis Perak di IPD Muallim pada Rabu.
Mior Faridalathrash pada sidang akhbar Op Patuh Team Pemantau Bersepadu Ketua Polis Perak di IPD Muallim pada Rabu.
A
A
A

MUALLIM - Peniaga dan pekebun durian boleh memohon surat kebenaran merentas daerah dan negeri untuk memasarkan hasil pertanian mereka berikutan musim raja buah itu sudah bermula di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, surat kebenaran itu melibatkan peniaga yang tidak mempunyai majikan selain melibatkan aktiviti penjualan sahaja.

"Mereka boleh menjual durian dengan dapatkan kebenaran daripada Jabatan Pertanian, namun bagi mereka tiada majikan, mereka boleh dapatkan kebenaran daripada polis.

"Kita akan keluarkan surat kebenaran untuk merentas daerah dan negeri bagi mereka menjalankan aktiviti menjual dan memasarkan durian," katanya pada sidang akhbar Op Patuh Team Pemantau Bersepadu Ketua Polis Perak di IPD Muallim di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, tiada pertambahan pos-pos sekatan jalan raya (SJR) dilakukan sebagai persediaan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini.

Katanya, pos-pos yang sedia ada dilihat memadai selain strategik untuk mengawal dan memeriksa keluar masuk kenderaan di setiap daerah dan sempadan negeri.

"Untuk Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Perak ini, pergerakan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan.

"SJR sedia ada kini sudah memadai untuk kawal pergerakan, namun ia bergantung kepada keputusan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan: