PSU 4.0 mulai 1 Ogos, kerajaan sedia RM3.8 bilion

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan meneruskan Program Subsidi Upah (PSU) menerusi PSU 4.0 selama empat bulan mulai 1 Ogos 2021 yang bermatlamat membantu golongan majikan mengekalkan perniagaan dan pekerja, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, bagi PSU 4.0, sebanyak RM3.8 billion akan disalurkan kepada majikan yang layak dan terhad kepada 500 pekerja bagi setiap perusahaan.

“Program PSU 4.0 menyasarkan 242,000 majikan meliputi lebih kurang 2.5 juta pekerja di seluruh negara,” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-60 secara dalam talian pada Rabu.

Beliau bekata, PSU 4.0 mengekalkan kadar RM600 untuk setiap pekerja dan terbuka kepada semua sektor ekonomi bagi dua bulan pertama, manakala dua bulan seterusnya khusus melibatkan sektor dalam kategori Senarai Negatif.

Penambahbaikan yang dibuat ke atas PSU ini adalah tiada had gaji yang ditetapkan berbanding had gaji RM4,000 ke bawah dalam bantuan PSU sebelum ini, katanya.

“Saya menyeru majikan yang terkesan agar memohon PSU 4.0 mulai 1 Ogos ini sehingga 31 Oktober 2021," kata beliau.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah membelanjakan lebih RM15 bilion di bawah PSU untuk menyelamatkan lebih 2.8 juta pekerjaan rakyat Malaysia.

Beliau turut berkongsi contoh bantuan berterusan kerajaan melalui simulasi sebuah PKS bersaiz sederhana yang telah mendapat pelbagai manfaat dan impak positif dari April 2020 hingga Disember 2021.

Artikel Berkaitan:

“Syarikat PKS bersaiz sederhana ini mendapat kemudahan moratorium selama enam bulan. Justeru, tambahan aliran tunai yang dinikmati dianggarkan lebih RM4.6 juta untuk enam bulan.

“Perusahaan ini juga mendapat bantuan subsidi upah bernilai RM1.68 juta,” katanya.

Beliau berkata, andaian tersebut adalah bagi sebuah syarikat yang mempunyai 200 pekerja selain pinjaman bank berjumlah RM50 juta dan mendapat manfaat subsidi upah selama 13 bulan yang merangkumi bantuan dari tahun lepas hingga akhir 2021.

Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhannya, setelah mengambil kira semua insentif yang disediakan, aliran tunai syarikat PKS tersebut menunjukkan impak positif berjumlah RM6.3 juta atau lebih RM300,000 sebulan selama tempoh 21 bulan.

Beliau berkata, ini juga membuktikan bantuan kerajaan adalah berterusan kepada sektor perniagaan.

“Selain bantuan berkenaan, terdapat juga insentif lain, diskaun elektrik dan potongan cukai yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat di Malaysia,” katanya. - Bernama