Wanita rentung, terperangkap dalam rumah terbakar

Azmi (kanan) dipapah oleh anak bongsunya, Fazrul Hisham keluar dari rumah mereka yang terbakar di Kampung Bohor, Hutan Kampung, Alor Setar pada Rabu.
Azmi (kanan) dipapah oleh anak bongsunya, Fazrul Hisham keluar dari rumah mereka yang terbakar di Kampung Bohor, Hutan Kampung, Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita ditemui mati dalam kebakaran ketika bapanya keluar rumah mencari rakan bagi menemaninya ke pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Rabu.

Mangsa, Azmiza Azmi, 51, yang merupakan bekas pesakit barah otak dipercayai terperangkap selepas rumahnya di Kampung Bohor, Hutan Kampung, dekat sini terbakar kira-kira jam 10.32 pagi, pada Rabu.

Wanita berkenaan ditemui dalam bilik air rumah tersebut dalam keadaan rentung oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM) Kedah.

Bapanya, Azmi Zain, 71, berkata, sebelum kejadian, dia keluar mencari kawannya untuk menemaninya ke pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar bagi menerima suntikan vaksin pada jam 2.30 petang.

Menurutnya, semasa pulang ke rumah, dia melihat asap tebal hitam dan langsung tidak menyangka kejadian kebakaran tersebut melibatkan rumahnya sendiri.

"Apabila hampir sampai ke rumah barulah sedar rumah sendiri yang terbakar. Saya nak masuk tidak boleh sebab api sedang marak. Sebelum saya keluar dari rumah, anak sulung saya ini (Azmiza) sedang tidur," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bohor pada Rabu.

Azmi (tengah) menatap jenazah anak sulungnya di rumahnya yang terbakar di Kampung Bohor, Hutan Kampung, Alor Setar pada Rabu sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
Azmi (tengah) menatap jenazah anak sulungnya di rumahnya yang terbakar di Kampung Bohor, Hutan Kampung, Alor Setar pada Rabu sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Azmi berkata, dia tinggal bersama dua anaknya dalam rumah tersebut iaitu mangsa dan juga anak bongsunya, Fazrul Hisham Azmi, 31.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon berkata, pasukannya tiba ke lokasi dan mendapati api sudah marak sehingga 70 peratus dan mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk memadamkan kebakaran.

"Proses pencarian telah menjumpai mangsa dalam keadaan rentung di dalam bilik air rumah tersebut. Mangsa gagal menyelamatkan diri kerana berada dalam keadaan uzur selain duduk berseorangan semasa kejadian," katanya.

Tambah beliau, dalam kejadian itu sebuah rumah satu tingkat terbakar 80 peratus dan kebakaran juga menyebabkan sebuah kereta serta dua motosikal terbakar antara 80 hingga 100 peratus.

"Jumlah kerugian berhubung kejadian kebakaran ini belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.