Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri, Hishammuddin Menteri Kanan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

"Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Ismail Sabri.

"Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pelantikan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berkuatkuasa serta-merta.

Tambah kenyataan itu, Ismail Sabri akan membantu Muhyiddin dalam menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat tatkala negara sedang menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi pada masa ini.

"Pelantikan tersebut akan meningkatkan keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19 sekaligus memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Pejabat Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin atas pelantikan ini," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, portal melaporkan Muhyiddin menghadap Al-Sultan Abdullah petang ini bagi memohon perkenan rombakan kabinet.

Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung Jumaat ini.