X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Parlimen Tebrau tidak menyesal tinggalkan PKR

Shiau Yoon menyampaikan barang keperluan asas kepada penduduk dalam program sumbangan barangan keperluan oleh Ahli Parlimen Tebrau di Surau An-Nur, Taman Daya, Johor Bahru pada Rabu.
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon tidak menyesal meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Februari lalu.

Malah beliau tidak melihat keputusan itu sebagai satu pengkhianatan terhadap mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana mendakwa ketika ini dapat berkhidmat dengan lebih baik sebagai wakil rakyat kerajaan.

"Fokus saya ketika ini adalah untuk melakukan yang terbaik membantu penduduk di Parlimen Tebrau. Saya telah buat keputusan (menyokong Perdana Menteri), saya tidak pernah menyesal.

"Ini kerana saya boleh melakukan lebih banyak kerja lagi dan itu yang akan saya teruskan.

"Hal berkaitan politik itu permainan pihak atasan, jadi biar mereka yang tentukan hala tuju parti masing-masing," katanya kepada pemberita selepas program sumbangan barangan keperluan oleh Ahli Parlimen Tebrau di Surau An-Nur, Taman Daya, di sini pada Rabu.

Pada 28 Februari lalu, Shiau Yoon mengisytiharkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

Beliau tidak kisah gelaran pengkhianat yang hendak diberikan PKR kepadanya kerana merasakan telah melakukan keputusan terbaik dan betul bukan untuk dirinya sendiri tetapi masyarakat keseluruhannya.

"Mereka (PKR) nak panggil saya pengkhianat, saya tiada komen berhubung perkara itu.

Tetapi adakah saya mengkhianati mandat diberikan pengundi, biar pengundi tentukan.

"Kalau selepas saya menyokong Perdana Menteri kemudian saya tidur, itu bagi saya baharulah satu pengkhianatan kepada pengundi," ujarnya.

Mengulas mengenai kempen 'Pecat atau Kekal' yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan Bersih 2.0 dan telah memilih beliau sebagai calon pertama pelaksanaan kempen berkenaan, beliau berkata, tiada masalah dengannya selagi tidak melanggar sebarang undang-undang.

"Tiada sebab untuk saya meletakkan jawatan (sebagai Ahli Parlimen Tebrau), saya akan terus berkhidmat sepanjang tempoh lantikan sebagai seorang wakil rakyat dan apabila tiba pilihan raya umum akan datang, pengundi yang mempunyai hak untuk memilih," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!