Petugas ibadah korban diutamakan terima vaksin

Izham ketika ditemui selepas Penyerahan Sumbangan Lembu Korban bagi tahun 2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Rabu.
Izham ketika ditemui selepas Penyerahan Sumbangan Lembu Korban bagi tahun 2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Petugas yang terlibat dalam ibadah korban akan diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang Hari Raya Aidiladha nanti.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meminta senarai petugas daripada masjid-masjid yang terlibat dalam ibadah tersebut untuk mengenal pasti individu yang belum divaksin.

Izham berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud untuk memasukkan petugas yang belum menerima vaksin ke dalam Program Vaksin Selangor (SelVAX).

"Langkah tersebut diambil bagi mengelakkan tercetusnya kluster penularan wabak Covid-19 di kawasan sembelihan dijalankan.

"Petugas yang sudah divaksin diberikan keutamaan, namun mereka yang belum divaksin perlu disuntik sekurang-kurangnya satu dos vaksin sebelum menyertai ibadah korban tersebut," katanya selepas Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Rabu.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Izham turut memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) untuk ibadah korban akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sebanyak RM5.05 juta sumbangan korban ditaja oleh sembilan anak syarikat kerajaan Selangor termasuk 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing yang akan diagihkan kepada masjid-masjid menerusi wakil-wakil rakyat dan pimpinan kawasan di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan: