Individu terlantar terima suntikan menerusi ‘outreach vaksin’

Individu yang terlantar di rumah dan penjaga mereka mula menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah program ‘outreach vaksin’ dari rumah ke rumah. - Gambar hiasan
Individu yang terlantar di rumah dan penjaga mereka mula menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah program ‘outreach vaksin’ dari rumah ke rumah. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang terlantar di rumah dan penjaga mereka mula menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah program ‘outreach vaksin’ dari rumah ke rumah, sekali gus menjadi kayu pengukur kepada keupayaan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyantuni kelompok komuniti terpinggir.

Ketua Unit Kesihatan Mercy Malaysia, Dr Mohammad Iqbal Omar memberitahu Bernama bahawa badan itu bersama-sama NGO lain menyasarkan untuk memberi vaksin kepada kira-kira 22,000 individu terlantar di Kuala Lumpur dan Selangor yang tersenarai dalam pangkalan data kerajaan.

“Ini merupakan projek perintis bagi NGO. Ia sangat penting bagi kami,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya berjaya, program vaksinasi dari rumah ke rumah akan menjadi rangka tindakan (blue print) dalam memberi suntikan kepada komuniti yang sukar dijangkau di negara ini, misalnya mereka yang tinggal di pedalaman, orang asli dan pelarian.

Beliau menambah, NGO lain juga terbabit dalam usaha tersebut termasuk Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Persatuan Kanser Kebangsaan.

Mohammad Iqbal berkata, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberikan senarai penerima melalui beserta nama dan alamat.

Sebanyak 11 isi rumah, meliputi 36 individu di Beranang dan Semenyih telah dikenal pasti untuk divaksin pada Selasa dan untuk sampai ke rumah-rumah berkenaan, van yang membawa vaksin dan sukarelawan terpaksa melalui jalan yang sempit dan semak-samun dengan capaian talian internet yang lemah.

Seorang wanita warga emas, Serinang Subi yang sukar berjalan sejak empat tahun lalu akibat penyakit reumatoid artritis gembira apabila diberitahu oleh JKM bahawa beliau dan keluarganya tidak perlu untuk keluar bagi mendapatkan suntikan.

Artikel Berkaitan:

“JKM bagi tahu, bahawa mereka nak datang, jadi kami tidak perlu keluar dan kena beratur. Ini menjimatkan masa dan memudahkan kami,” katanya.

Warga emas berusia 69 itu berkata, pada awalnya beliau berasa bimbang untuk mendapatan suntikan vaksin, tetapi membuat keputusan untuk menerimanya memandangkan berisiko sakit teruk jika ada individu berjangkit datang ke rumah.

Semalam, keseluruhannya, seramai 33 daripada 36 penerima telah menerima suntikan vaksin pertama mereka dari jenis Cominarty oleh Pfizer-BioNTech. - Bernama