ZPP terus cakna nasib asnaf

Amran (kiri) dan Mohd Ghazali (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penerima.
Amran (kiri) dan Mohd Ghazali (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penerima.
A
A
A

KEPALA BATAS - Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan memastikan tiada masyarakat Islam di negeri ini disisihkan tanpa mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya khususnya mereka yang terkesan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amran Hazali berkata, bagi tujuan itu, pihaknya melalui pasukan peduli asnaf sentiasa bersedia untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan oleh asnaf tidak kira sama ada mereka mengibarkan bendera putih ataupun tidak.

Menurutnya, sejak Skim Bantuan Kecemasan Makanan dilancarkan, pihaknya telah menyampaikan lebih 5,000 set bakul makanan kepada asnaf dan keluarga yang memerlukan.

"ZPP amat memahami denyut nadi asnaf dan kita tahu ramai yang terkesan dan melalui situasi yang mencabar pada waktu ini.

"Sekiranya benar-benar layak, kami akan turun sampaikan bantuan bagi meringankan beban sekali gus mengembalikan keceriaan hidup mereka tambahan tidak lama lagi kita akan merayakan Aidiladha, jadi kami mahu memastikan tiada umat Islam yang terbiar dan hak asnaf terbela," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.

Terdahulu Amran hadir ke program ziarah kasih asnaf bersama Yayasan UEM Edgenta yang diadakan di sekitar daerah Seberang Perai Utara di sini.

Hadir sama Ketua Wilayah UEM Edgenta, Mohd Ghazli Mohd Hashim.

Dalam majlis itu, Yayasan UEM Edgenta menyumbangkan 1,000 pek makanan percuma dan barangan keperluan kepada 200 buah rumah asnaf.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Amran berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan dan sumbangan pihak korporat serta badan amal yang ingin bekerjasama dalam membantu golongan asnaf di negeri ini.

Selain itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pembayar zakat yang menunaikan kewajipan mereka sekaligus membolehkan ZPP menjalankan amanah untuk membantu lebih ramai umat Islam yang memerlukan.