'Dahulu kamu main mata dengan Azmin, UMNO langsung tidak ungkit'

Ahmad Jazlan Yaakub, Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Jazlan Yaakub, Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengingatkan segelintir ahli Parlimen UMNO agar tidak membesar-besarkan dakwaan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui kesahihan rakaman audio perbualan tular bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Ahmad Jazlan meminta kumpulan ahli Parlimen berkenaan untuk 'cermin diri dahulu' kerana mereka juga pernah melakukan tindakan politik membelakangi UMNO sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ujarnya, antara tindakan politik membelakangi parti dilakukan mereka adalah seperti 'bermain mata' dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sehubungan itu, Ahmad Jazlan berpandangan isu dakwaan Ahmad Zahid mengakui kesahihan rakaman audio tular berkenaan serta penyerahan surat tandatangan sokongan ahli-ahli Parlimen menyokong Anwar itu menjadi Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu, tidak perlu dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Rabu malam.

"Ini kerana semua orang pernah buat silap dan selagi sesuatu tindakan individu itu belum menjadi dasar parti jelas, perkara yang lain biarlah berlalu dan tidak perlu diungkit.

"Lagipun, sewaktu kerajaan PH dahulu, sudah ada ahli Parlimen UMNO yang 'bermain mata' dengan Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) dan Azmin sehingga pernah kecoh berlakunya pertemuan dengan Azmin di rumah beliau.

"Tetapi tindakan kamu (segelintir ahli Parlimen UMNO) tidak pernah parti ungkit dan besar-besarkan. Saya minta mereka ini cermin diri dahulu sebelum mengata," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan segelintir pemimpin UMNO yang mendesak mesyuarat MKT parti pada Rabu malam, membincangkan kesahihan dakwaan pengakuan Ahmad Zahid terhadap dua tindakan politik yang dinafikan beliau sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Ahmad Zahid didakwa membuat pengakuan suara di dalam rakaman telefon yang tular bersama Anwar sebelum ini adalah suaranya.

Sumber ahli Parlimen UMNO berkata, presiden parti itu membuat pengakuan itu semasa pertemuan bersama ahli-ahli Parlimen UMNO di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di ibu negara pada Isnin.

Sumber berkenaan turut menambah Ahmad Zahid juga mengaku telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kehadiran Ahmad Zahid memenuhi jemputan mesyuarat yang diadakan secara tertutup oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wisma Perwira itu adalah bagi membincangkan isu keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Ahmad Jazlan turut menafikan UMNO sedang melobi jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada kerajaan PN sebagai balasan terhadap kemungkinan keputusan parti untuk tidak menarik sokongan.

Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu, parti sudah membuat ketetapan dalam mesyuarat MKT terdahulu untuk menolak sebarang tuntutan jawatan TPM daripada kerajaan PN.

"Setakat saya tahu, keputusan MKT jelas dan tuntutan jawatan TPM tidak pernah dibentangkan di hadapan saya.

"Sebagai seorang 'partyman', saya akan patuh dengan segala keputusan dan ketetapan dibuat parti malam ini (Rabu), termasuk arahan menarik sokongan daripada kerajaan PN," katanya.

Mengulas pendirian ahli-ahli Parlimen UMNO yang dikatakan bercampur-campur, Ahmad Jazlan yakin sebahagian besar mereka akan mematuhi apa jua ketetapan diputuskan parti kerana pemimpin-pemimpin berkenaan merupakan orang berpengalaman dan sayangkan UMNO.

Tambah beliau, majoriti ahli Parlimen UMNO menyedari kedudukan diperolehi mereka ketika ini adalah atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan sewajarnya sebarang keputusan parti mesti dihormati kumpulan berkenaan.

"Sekali pun kita tidak bersetuju dengan kepimpinan sedia ada, kita kena hormati keputusan majoriti ahli MKT UMNO yang dipilih...apa sahaja keputusan parti mesti diikuti suara ramai.

"Biarlah kita berbeza pendapat dan berasingan suara, tetapi apabila UMNO sudah membuat ketetapan, saya amat yakin sebahagian besar ahli Parlimen UMNO akan bersama parti kerana mereka ini semua sayangkan parti," katanya.