Felda berpotensi menjadi syarikat perladangan terulung di dunia

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan pada perasmian sambutan Hari Peneroka FELDA 2021 peringkat kebangsaan yang disiarkan secara maya hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan pada perasmian sambutan Hari Peneroka FELDA 2021 peringkat kebangsaan yang disiarkan secara maya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan tersenarai menjadi antara syarikat global paling berjaya seperti dalam Fortune Global 500 pada masa hadapan.

Beliau berkata, dengan kelebihan simpanan tanah seluas 832,000 hektar atau lebih dua juta ekar, Felda mempunyai keupayaan dan potensi besar untuk kembali menjadi syarikat perladangan terulung dunia.

“Saya sedar ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan strategi serampang tiga mata (restart, revitalise dan reform) dan dengan komitmen pihak pengurusan baharu serta sokongan kerajaan, ia tidak mustahil untuk dicapai,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapannya sempena Pelancaran Hari Peneroka Felda 2021 yang diadakan secara maya di sini pada Rabu.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, salah satu isu yang mampu merencatkan Felda untuk kembali bangun setanding dengan syarikat perladangan terkemuka dunia adalah isu hutang yang harus diperbetulkan untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau ‘restart’ Felda.

Justeru, katanya, kerajaan telah bersetuju untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutamanya bagi generasi awal.

Beliau berkata, pelupusan bersyarat itu merangkumi, antaranya pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM8 bilion yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka atau 82 peratus daripada keseluruhan 112,638 warga peneroka.

Untuk memperkasakan atau ‘revitalise’ Felda sehingga kembali berdiri teguh, Muhyiddin berkata, kerajaan juga telah meluluskan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion bagi menambah baik model perniagaannya.

Menurutnya, sebahagian terbitan sukuk ini sedang digunakan untuk menstruktur semula pinjaman dengan institusi kewangan serta untuk mengambil alih FGV Holdings Bhd.
Artikel Berkaitan:


Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan bahawa penstrukturan semula pinjaman tersebut akan mengembalikan fokus Felda terhadap usaha pemerkasakan perniagaan terasnya.

“Persetujuan kabinet terhadap cadangan pasukan khas sebelum ini juga telah membolehkan Felda meningkatkan pegangan saham dalam FGV sehingga 81.3 peratus.

“Saya difahamkan perkembangan ini akan mewujudkan satu sinergi perladangan yang akan melonjakkan produktiviti seterusnya keuntungan Kumpulan Felda,” katanya.

Di samping itu, katanya, peningkatan penglibatan Felda dalam industri hiliran yang mempunyai nisbah keuntungan lebih tinggi pula akan membolehkan kumpulan tersebut mencapai sasarannya untuk kembali mencatat keuntungan menjelang tahun 2023.

Felda juga, katanya, telah mula melaksanakan sistem pertanian pintar bagi menguruskan 458,000 hektar ladangnya dan peneroka di seluruh negara dengan menggunakan konsep pertanian jitu selari dengan agenda nasional ke arah Revolusi Industri 4.0.

Muhyiddin yakin dengan kerjasama warga Felda sistem tersebut mampu menambah baik operasi perladangan menerusi pemantauan dan pengumpulan maklumat lebih terperinci dan menjimatkan kos operasi sehingga lebih RM200 juta dalam masa lima tahun. - Bernama