Tiga pengarah syarikat direman kes tuntutan palsu

Ketiga-tiga suspek direman empat hari sehingga 10 Julai untuk membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan nilai RM65,000.
Ketiga-tiga suspek direman empat hari sehingga 10 Julai untuk membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan nilai RM65,000.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Tiga pengarah syarikat pembekal implan perubatan direman empat hari bermula Rabu sehingga 10 Julai bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan nilai RM65,000 di Mahkamah Majistret Georgetown di sini.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Georgetown, Balqis Roslin pada pagi Rabu selepas permohonan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Azlan Basri.

Ketiga-tiga lelaki berusia 29, 30 dan 37 tahun itu ditahan pada Selasa bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu pembekalan implan ortopedik kepada agensi-agensi bantuan antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pusat zakat.

Kesemua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Georgetown pada jam 10 pagi dengan berpakaian lokap SPRM dan bergari serta diiringi beberapa pegawai SPRM.

Turut mengiringi tiga peguam mereka, E Grasegaran, Audrey Wee Li Ye dan R Arvend.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kesemua suspek ditahan di lokap SPRM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan: