Cincin tersangkut di jari, abang bomba tolong

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Anggota bomba berjaya memotong cincin yang tersangkut di jari manis tangan kiri seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, pagi Selasa.

Kanak-kanak itu, Che Maizatul Umairah Che Rosilan, 9, dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu oleh ibunya, Siti Noraziah Suaideh, 40, untuk mendapatkan bantuan memotong cincin tersebut, kira- kira jam 9 pagi.

Siti Noraziah berkata, dia ternampak anak bongsu daripada tiga beradik itu memakai besi yang menyerupai cincin di jarinya di rumah mereka di Kampung Jeram, Manir, di sini, petang Isnin.

"Pada mulanya saya tidak hiraukan walaupun nampak dia tak boleh nak tanggal besi yang dijadikan cincin di jari manisnya kerana dia langsung tak menangis atau mengadu apa-apa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Jelas penjawat awam itu lagi, namun keesokan harinya (Selasa), anaknya mengadu yang besi itu masih belum dapat dikeluarkan sambil menunjukkan jari manisnya yang semakin membengkak.

"Saya terus cuba tanggalkan dengan sabun dan minyak tetapi gagal.

Peralatan khas digunakan oleh pasukan MERS BBP Kuala Terengganu dalam usaha menanggalkan cincin di jari manis mangsa
Peralatan khas digunakan oleh pasukan MERS BBP Kuala Terengganu dalam usaha menanggalkan cincin di jari manis mangsa

"Panik dengan situasi itu, saya bawa anak terus ke balai bomba untuk dapatkan bantuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua BBP Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, mangsa tiba di balai bersama warisnya, kira-kira jam 9.38 pagi sebelum operasi menanggalkan cincin berkenaan dijalankan melibatkan tiga anggota daripada pasukan Emergency Medical Rescue Services (MERS).

Beliau berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak kecederaan pada jari kanak-kanak itu disebabkan jarinya terlalu bengkak.

"Anggota kami menggunakan alat pemotong khas cincin untuk menanggalkan cincin berkenaan.

"Operasi dilakukan kurang daripada 15 minit dan akhirnya cincin itu berjaya dipotong," katanya.