X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 1,000 tangki sisa buangan terjadual disita

Amirul (kiri) bersama pegawai polis dari IPD Kota Kinabalu menunjukkan tangki yang mengandungi buangan separa pepejal disyaki buangan terjadual di sebuah stor haram di Kampung Kembirian, Manggatal, Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Bau kurang menyenangkan dipercayai seperti diesel yang dihidu penduduk kampung membawa kepada penemuan stor haram menyimpan bahan sisa buangan dalam Op Bersepadu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah di Kampung Kembirian, Manggatal, pada Selasa.

Dalam serbuan jam 2.30 petang itu, lebih 1,000 unit tangki disyaki mengandungi bahan buangan terjadual disita selepas ditemui berada di dalam gudang penyimpanan terbabit.

Pengarah JAS Sabah, Amirul Aripin berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan siasatan dan intipan hampir seminggu di kawasan itu susulan aduan diterima daripada penduduk kampung pada 26 Jun lalu.

"Siasatan dijalankan keesokan harinya dan mengesan bau diesel serta bau seperti minyak diproses dapat dihidu dari kawasan rumah penduduk sekitar dan hadapan laluan masuk ke premis itu.

"Intipan kemudian dilakukan termasuk anggota bertindak memanjat pokok untuk membuat pemerhatian rapi aktiviti di kawasan berkenaan dan mendapati ada pergerakan keluar dan masuk lori pada waktu tidak dijangka penduduk iaitu waktu malam," katanya pada sidang akhbar di premis menyimpan bahan kimia itu pada Rabu.

Mengulas lanjut, Amirul berkata, pihaknya dengan kerjasama pasukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kemudian telah menyerbu premis berkenaan.

"Hasil operasi telah menemui lebih 1, 000 unit tangki yang mengandungi buangan separa pepejal yang disyaki buangan terjadual dipercayai hasil daripada operasi di laut.

"Sampel telah diambil daripada tangki terbabit untuk dianalisis Jabatan Kimia Sabah," katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau tiada sebarang tangkapan dibuat dalam operasi itu kerana tiada individu berada di lokasi kejadian ketika serbuan dilakukan.

"Kita masih menyiasat pihak yang bertanggungjawab berdasarkan label yang tertera pada tangki terbabit namun kita percaya aktiviti itu dilakukan sebagai jalan pintas dengan menggunakan gudang haram menyimpan bahan ini tanpa dilesenkan daripada JAS.

"Tindakan perundangan akan diambil di bawah Akta Kualiti Sekeliling 1974 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti iaitu penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500, 000 jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau sebelum itu turut mendedahkan bahawa pencemaran itu boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan kepada penduduk dan jika terlalu lama dihidu akan menyebabkan pening.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!