Kebun durian haram: Tindakan kerajaan Pahang wajar

Asrullah Affendi
Asrullah Affendi
A
A
A

KUANTAN - Tindakan kerajaan negeri Pahang memusnahkan kebun durian haram dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam tidak melibatkan isu perkauman sebaliknya ia isu tertangguh sejak sekian lama.

Sekiranya aktiviti haram itu tidak ditangani, kemungkinan lebih banyak kawasan akan dirosakkan oleh pihak yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada orang lain.

Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, tindakan itu perlu dilakukan walaupun terpaksa berdepan pelbagai situasi dan provokasi melampau pekebun serta pihak-pihak yang bersekongkol.

Menurutnya, MBFM Wilayah Kuantan menggesa kerajaan negeri Pahang dan pihak berkaitan menggiatkan lagi usaha bagi mengenal pasti kawasan lain yang diteroka secara haram di seluruh negeri ini.

"Kami percaya masih banyak lagi kawasan yang diteroka secara haram untuk pelbagai aktiviti termasuk pertanian.

"Justeru, orang ramai juga perlu mainkan peranan membantu kerajaan negeri dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk diambil tindakan," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Naib Pengerusi 2, Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) berkata, pada masa sama semua pihak perlu menyemak maklumat-maklumat berkaitan perkara itu agar tidak bertembung dengan maklumat tidak tepat yang boleh menyebabkan usaha kerajaan negeri gagal dilaksanakan sebaiknya.

"MBFM Wilayah Kuantan menyokong penuh pendirian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail secara tegas tidak akan berkompromi dengan desakan pihak luar yang cuba melemahkan usaha kerajaan negeri dalam isu itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami yakin dan percaya banyak pihak bersama kerajaan negeri dalam menangani perkara ini walaupun sudah ada kecaman dilemparkan beberapa pihak berkepentingan kononnya atas dasar menjaga sensitiviti sesuatu kaum," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Musang king: Operasi tebang pokok tidak langgar perintah mahkamah

Tambah beliau, atas kebiadapan itu maka wajar tindakan tersebut dilakukan supaya tidak ada lagi pihak yang berani bertindak memusnahkan ekosistem hutan simpan kekal di negeri ini.

"MBFM Wilayah Kuantan bersama-sama gerakan badan bukan kerajaan (NGO) di Pahang berdiri teguh mempertahankan segala usaha kerajaan negeri dalam memulihara hutan simpan kekal di negeri ini," katanya.