Pelbagai halangan dihadapi, akhirnya warga emas dapat vaksin

Seramai 2.3 juta warga emas telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa dua. - Foto Bernama
Seramai 2.3 juta warga emas telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa dua. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Seorang warga emas, Mohd Ghazaly Md Yusoff akhirnya mendapat suntikan selepas dua kali membatalkan janji temu berikutan faktor pengangkutan dan lokasi penerimaan vaksin yang jauh.

Mohd Ghazaly, 62, mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Kegiatan Masyarakat Gopeng yang mula beroperasi pada Selasa tanpa perlu ke PPV di Dewan Bandaran Kampar kira-kira setengah jam dari rumahnya.

"Saya tinggal berseorangan, malah keadaan saya yang tidak boleh berjalan akibat kemalangan ketika membuat kerja mesin rumput pada tahun lepas membataskan pergerakan saya ke PPV yang jauh dari kediaman saya.

“Kini PPV baharu itu hanya dua kilometer berhampiran rumah saya yang memudahkan pergerakan dan saya terus mendapatkan bantuan rakan bagi membawa saya mendapatkan suntikan,” katanya yang menaiki kerusi roda itu kepada Bernama selepas menerima suntikan tersebut.

PPV itu antara dua pusat yang mula dibuka pada Selasa selain Dewan Besar Felcra Seberang Perak, sekali gus menjadikan keseluruhan PPV awam di negeri ini sebanyak 22 selain sembilan PPV Khas di hospital dan 61 PPV swasta.

Tinjauan Bernama di dua PPV baharu tersebut mendapati, proses vaksinasi berjalan lancar dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dipantau petugas Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain dibantu Sukarelawan Pembantu Vaksin Malaysia (MyVac) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),

Seorang lagi warga emas Lam Soon Hoon, 64, berasa lega dan gembira setelah menerima vaksin dos pertama bersama-bersama isteri Chau Yok Yeng, 53, dan mereka kini rasa lebih selamat untuk berada di tempat awam. - Bernama

Artikel Berkaitan: