X

Kindly register in order to view this article
!

Tutup kilang bukan penyelesaian Covid-19

Sektor perkilangan terutamanya berkaitan makanan perlu dibuka ketika PKP
A
A

Menangani masalah luar biasa seperti pandemik Covid-19 memerlukan solusi dan keberanian tindakan yang luar biasa juga. Apalagi bila variannya bertambah ganas seperti sekarang ini.

Bila data Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 2 April menunjukkan 48.06% kes dari kluster kilang, maka kedengaranlah suara ‘pakar segera’ yang meminta supaya semua kilang ditutup operasinya.

Tetapi penutupan kilang, malah menghadkan operasi kilang mengikut jam atau bilangan pekerja bukan semudah memasak dan memakan mi segera. Banyak kesan sampingan harus diteliti termasuk ekonomi, sosial, psikologi dan sebagainya.

Menutup kilang kecil mungkin wajar, tetapi jika kilang itu melibatkan penggunaan teknologi bersepadu yang operasinya 24 jam di mana rantaian prosesnya saling bertaut rapat, ini memerlukan satu penelitian.

Ada kilang yang memerlukan ‘enjinnya’ dihidupkan sejam sebelum operasi, ada teknologi kilang yang memestikan dihidupkan 24 jam. Kegagalan berbuat demikian akan memendekkan jangka hayat teknologi tersebut atau kos operasi akan melambung.

Kilang sebegini selalunya telah mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja. Arahan untuk menghadkan masa operasi atau mengurangkan tenaga kerjanya pasti akan mengurangkan output produktiviti yang pastinya akan menjejas kos operasi.

Peningkatan kos operasi akan mempengaruhi kos pengeluaran dan akhirnya pengguna yang akan menanggung kos tersebut melalui harga barangan.

Oleh itu, penutupan kilang waima menghadkan operasi kilang bukanlah penyelesaian tuntas dalam pengurusan Covid-19. Penutupan kilang dalam industri keselamatan makanan lebih fatal kerana ia boleh menyebabkan krisis makanan kepada negara.

Dengan menghadkan kapasiti kilang kepada 60% bermakna mengurangkan tenaga kerja sebanyak 40%. Natijahnya, pengeluaran produk terjejas 40%. Jumlah yang bukan sedikit buat sesebuah kilang!

Apabila bekalan berkurangan sedangkan permintaan tetap sama, maka inflasi mula menyusup dan harga barang pasti meningkat.

Apakah kerana lockdown, mulut pun turut di lockdown, input makanan pun turun 40 peratus? Sebaliknya laporan menunjukkan pengambilan pemakanan orang ramai bertambah semasa lockdown.

Duduk di rumah sering pula mereka ke dapur. Kalau tidak ke dapur, mereka akan memesan makanan melalui online, semakin banyak pula jenis makanan yang nak dicuba.

Krisis makanan

Covid-19 dijangka akan berpanjangan dan sukar untuk berakhir. Malah telah ada seruan supaya kita bersedia untuk hidup bersama Covid-19 sama seperti kuman demam, flu dan denggi.

Jika bulan pertama mungkin pengurangan bekalan makanan 40 peratus belum terasa. Masuk bulan ketiga dan seterusnya, pasti kekurangan ini akan memberi kesan yang dahsyat kepada ekonomi negara.

Ibarat bola salji, kekurangan akan bertumpu menjadi runtuhan salji besar dalam bentuk krisis makanan negara. Apalagi jika negara pengeksport makanan mengenakan sekatan kepada negara kita.

Sebenarnya ini telah dirasai sekarang. Walaupun belum melata, harga barang sudah mula menampakkan kenaikan. Ini tidak termasuk kenaikan barang menjelang perayaan.

Harga minyak masak botol, harga barang basah, harga barang kering, harga keperluan rumah mahupun alat-tulis serta gajet keperluan PdPR turut menghantui orang ramai.

Anehnya, harga barangan yang naik tidak akan turun. Dulu harga barang naik kerana harga petrol naik. Tetapi bila harga petrol turun ke RM1.25 seliter semasa PKP 1.0, harga barang tidak juga turun.

Banyak lagi kesan sampingan lain. Gaji pekerja dipotong, atau hilang pendapatan diberhentikan kerja mengakibatkan kuasa membeli berkurangan dan ini menambah tekanan sesebuah keluarga.

Malah dilaporkan 30% peratus penduduk PPRT sekarang ini terpaksa hidup kais pagi makan pagi akibat sektor ekonomi tempat mereka bekerja ditutup atau dihadkan operasinya.

Cari solusi

Setiap warga kilang disarankan supaya diberi keutamaan suntikan vaksin
Setiap warga kilang disarankan supaya diberi keutamaan suntikan vaksin

Fenomena bunuh diri baru muncul akibat tekanan emosi yang bersumber dari ekonomi. Terkini ialah gerakan bendera putih menjadi norma baharu!

Begitu juga dengan kilang lain termasuk kilang yang menghasilkan produk untuk eksport. Penutupan kilang boleh menyebabkan mereka berpindah ke negara lain, di mana negara akan kehilangan FDI dan rakyat kehilangan pekerjaan.

Pemikir dan pembuat keputusan mestilah mencari penyelesaian dan mengurangkan kesan yang boleh merosakkan kehidupan rakyat dan negara.

Tindakan proaktif amat perlu untuk menyegerakan proses vaksinasi bagi pekerja kilang agar kilang terus boleh beroperasi 100 peratus dan mengurangkan risiko krisis makanan terhadap negara.

Semua pemain industri keselamatan makanan termasuk perladangan dan pertanian harus disegerakan vaksinasinya, dari peringkat pengurusan hingga ke pekerjanya.

Data pekerja kilang sudah tersedia ada, nama dan profil termasuk lokasi mereka ibarat buah rendang yang sedia dipetik.

Tidak perlu PPV yang canggih. Ibarat pepatah Inggeris, “If Mohamed cannot come to mountain, bring mountain to Mohamed”, begitulah pendekatan yang boleh diambil.

Jika mak bidan boleh melaksanakan suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk di pedalaman Indonesia; jika petani boleh disuntik di atas keldai di Columbia, maka jauh lebih mudah untuk menyuntik pekerja kilang di Malaysia.

Jika vaksin tidak mencukupi, keutamaan harus diberikan untuk seramai mungkin menerima suntikan pertama.

Kajian perubatan telah membuktikan bahawa suntikan vaksin Covid-19 pertama akan membina antibodi dalam diri setelah 2 hingga 3 minggu menerima suntikan.

Kita sedang berhadapan dengan situasi di mana sumber kita amat terhad; vaksin, frontliners yang menguruskan Covid-19 dan aset kesihatan! Penerima pula ramai dan bertaburan di pelosok negara.

Pendekatan yang terbaik ialah mengenalpasti penerima vaksin berdasarkan peranan mereka dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat dan negara.

Dengan penerimaan kumpulan vaksin terbaru, bukankah ini masa yang sesuai untuk mengkaji semula perlaksanaan program vaksinasi kita?

PROF DATUK DR ISMAIL SUALMAN
PROF DATUK DR ISMAIL SUALMAN

Oleh PROF DATUK DR ISMAIL SUALMAN

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media

Universiti Teknologi MARA

​​​​


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!