Dron bawa bahan letupan serang lapangan terbang di Iraq

Gambar fail menunjukkan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang menjadi sasaran serangan dron di Erbil pada Selasa. - Foto Reuters
Gambar fail menunjukkan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang menjadi sasaran serangan dron di Erbil pada Selasa. - Foto Reuters
A
A
A

BAGHDAD - Beberapa buah dron yang membawa bahan letupan menyerang sebuah lapangan terbang antarabangsa yang terletak berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di bandar Erbil, utara Iraq pada lewat Selasa, kata pihak berkuasa Kurdis.

Serangan yang berlaku itu tidak melibatkan sebarang kecederaan, kematian atau kerosakan besar dengan anggota-anggota bomba memadamkan kebakaran, kata sebuah unit antipengganas di wilayah autonomi Kurdis tersebut dalam satu kenyataan.

Lapangan terbang di Erbil itu menempatkan sebuah pangkalan tentera perikatan antarabangsa yang turut menentang kumpulan Daesh.

Sebelum itu, tiga roket dilancarkan dengan sasaran serangan ialah sebuah pangkalan udara di barat Iraq yang turut menempatkan askar-askar AS.

Sejak permulaan tahun baharu ini, berpuluh-puluh serangan telah dilakukan ke atas kepentingan AS di negara tersebut yang menempatkan kira-kira 2,500 askar AS.

Pada Isnin lalu, tentera Amerika menembak jatuh sebuah dron yang terbang di atas kedutaan negara berkenaan di Baghdad.

Baru-baru ini AS menawarkan sehingga AS$3 juta (RM12.48 juta) bagi mendapatkan maklumat tentang serangan terhadap kepentingan Amerika di Iraq. - Agensi

Artikel Berkaitan: