X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit susut berbanding dolar AS pagi ini

Nilai mata wang ringgit menyusut 70 mata asas berbanding dolar AS ketika dibuka untuk urus niaga pagi Rabu meskipun harga minyak mentah terus mengukuh.
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai mata wang ringgit menyusut 70 mata asas berbanding dolar AS ketika dibuka untuk urus niaga pagi Rabu meskipun harga minyak mentah terus mengukuh dan ini disebabkan oleh sentimen berhati-hati yang berterusan dalam kalangan pelabur selepas kes harian Covid-19 melepasi paras 7,000 pada Selasa.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan itu diniagakan pada 4.1600/1620 berbanding dolar AS daripada 4.1530/1560 pada penutupan Selasa.

Pedagang ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, dengan jumlah kes baharu meningkat sekali lagi, pihak berkuasa tempatan mungkin akan melaksanakan lebih banyak kawalan pergerakan dan ini boleh menyebabkan ringgit terus merosot berbanding dolar AS.

Malaysia mencatatkan sejumlah 7,654 kes Covid-19 pada Selasa - melonjak berbanding 6,387 kes pada Isnin, sekali gus menyaksikan jumlah terkumpul kes di dalam negara kepada 792,693.

“Pada minggu ini, pelabur akan terus memantau secara rapat minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk mengenai perkembangan dasar monetari AS serta langkah-langkahnya terhadap kadar faedah,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, kemajuan program vaksinasi negara amat memberangsangkan dengan vaksinasi baharu mencatatkan rekod 313,761 dos pada 5 Julai dan ini boleh merancakkan sentimen dalam kalangan peniaga.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0867/0885 daripada 3.0877/0902 pada penutupan Selasa dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7400/7427 daripada 5.7502/7544 pada Selasa.

Bagaimanapun, ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.7674/7692 daripada 3.7482/7512 dan lemah berbanding euro kepada 4.9175/9199 daripada 4.9172/9207 sebelumnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!