Pegawai Maritim rugi RM370,000 diperdaya Macau Scam

Seorang pegawai Maritim kerugian RM370,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam. - Foto hiasan
Gambar kecil: Mohd Wazir
Seorang pegawai Maritim kerugian RM370,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam. - Foto hiasan Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Panik dan takut dengan tuduhan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram, seorang penjawat awam membuat pinjaman bank dan mengeluarkan keseluruhan wang simpanannya sebanyak RM370,000 pada pertengahan Jun lalu.

Akibatnya, pegawai Maritim berusia 33 tahun itu terpaksa menanggung beban hutang selepas membuat pinjaman bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima satu panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa syarikat yang didaftarkan atas namanya tidak membayar cukai.

Menurutnya, suspek memaklumkan syarikat atas nama mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berdasarkan semakan dilakukan.

"Panggilan tersebut telah disambungkan kepada seorang lagi lelaki kononnya pegawai polis bernama Inspektor Azman yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

"Suspek telah mengarahkan mangsa supaya memasukkan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes jenayah yang dihadapinya tanpa perlu melakukan tangkapan.

"Mangsa bersetuju dan memasukkan wang simpanannya berjumlah RM120,000 ke dalam akaun yang diberikan bermula pada 17 hingga 21 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank selepas wang simpanannya sudah habis.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan rasa takut, katanya, mangsa menuruti permintaan suspek dan membuat pinjaman berjumlah RM250,000 daripada dua buah bank di daerah ini.

Selepas itu, katanya, mangsa memuat turun aplikasi myBNM dan mengisi segala butiran bank dalam aplikasi tersebut seperti yang diminta suspek.

"Pada 30 Jun lalu, mangsa mendapati duit pinjaman yang masuk ke akaun banknya sudah tiada. Semakan transaksi mendapati wang terbabit telah dipindahkan beberapa akaun bank yang lain.

"Pada Selasa, mangsa telah terima panggilan daripada sebuah bank yang memaklumkan terdapat transaksi mencurigakan terhadap akaun bank miliknya dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada petang Selasa.

Katanya, rakaman percakapan juga telah diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tambah beliau, modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menyamar sebagai anggota Pegawai LHDN dan polis serta mendorong mangsa membayar wang untuk mengelakkan daripada ditangkap.

"Kita nasihat orang ramai agar menghubungi polis jika ada panggilan meragukan bagi mengelak kes penipuan seperti ini," tegas beliau.