Dakwaan enggan keluar kerajaan hanya propaganda

Mohd Puad, Khaidhirah
Mohd Puad, Khaidhirah
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan 35 ahli Parlimen UMNO dijangka menolak ketetapan parti itu untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya dimuktamadkan kelak, adalah tidak tepat dan sekadar propaganda pihak tertentu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau yakin pendirian ahli-ahli Parlimen UMNO ketika ini adalah bercampur-campur.

Menurutnya, ada dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang menyokong pendirian menolak ketetapan parti sebagaimana ditetapkan melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 kerana percaya Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bakal dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Tambahnya, ada juga ahli Parlimen UMNO yang terpaksa menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Hishammuddin hanya kerana mahu menolak kerjasama dengan DAP.

“(Mengenai pendirian 35 ahli Parlimen UMNO yang mahu kekal bersama kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen) Saya yakin itu tidak tepat dan sekadar propaganda,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi menjawab desas-desus sejumlah 35 ahli Parlimen UMNO dikatakan mengadakan pertemuan di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur pada Jumaat malam dan berpendirian untuk menolak sebarang arahan parti bagi menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Pertemuan itu disahkan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menegaskan kesemua ahli Parlimen terlibat akan terus berpegang kepada ketetapan diputuskan PAU 2020 iaitu sokongan terhadap kerajaan PN akan diteruskan sehingga Parlimen terbubar.

Pendirian itu juga sebagai reaksi balas terhadap tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang difahamkan telah mendapatkan sokongan majoriti ahli MKT parti untuk memuktamadkan keputusan penarikan sokongan UMNO daripada kerajaan PN, dalam mesyuarat MKT akan datang.

Artikel Berkaitan:

Jumlah keseluruhan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ketika ini adalah seramai 41 orang termasuk 38 daripada UMNO.

Mengulas lanjut apakah langkah UMNO setelah parti itu memuktamadkan penarikan sokongan terhadap kerajaan PN, Mohd Puad hanya menjawab ringkas: “Tunggu (keputusan) MKT.”

Sementara itu, seorang lagi ahli MKT UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar mengesahkan beliau ada mengadakan pertemuan bersama Ahmad Zahid dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Khamis minggu lalu.

Bagaimanapun, Exco Puteri UMNO itu menafikan beliau diarahkan menandatangani sebarang perakuan menyokong ketetapan UMNO keluar daripada kerajaan PN sebelum 1 Ogos.

“Apa yang pasti, pertemuan saya dengan Presiden UMNO hanya bersifat mesyuarat pre-council, dengan saya diberi peluang memberikan pandangan peribadi terhadap apa yang berlaku dalam parti.

“Bagi saya, pertemuan itu positif kerana Presiden UMNO memberi ruang untuk kami meluahkan pandangan selain beliau sendiri turut mengemukakan pandangan mengenai hala tuju masa hadapan parti,” kata beliau.

Ditanya sama ada Ahmad Zahid ada mengemukakan pandangan tentang keperluan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN, Khaidhirah mengakui perkara berkenaan ada disebutkan, namun sebarang keputusan bergantung kepada mesyuarat MKT akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: 35 ahli Parlimen UMNO tarik sokongan atau tidak?