Kilat dipercayai punca lautan terbakar di Teluk Mexico

Tiga buah bot digunakan apabila sebahagian lautan terbakar di Teluk Mexico di dalam kawasan perairan Mexico pada Jumaat lalu. - Foto Twitter
Tiga buah bot digunakan apabila sebahagian lautan terbakar di Teluk Mexico di dalam kawasan perairan Mexico pada Jumaat lalu. - Foto Twitter
A
A
A

BANDAR RAYA MEXICO - Sebuah syarikat minyak yang dimiliki oleh kerajaan Mexico menyatakan ribut kilat dan kebocoran paip gas menjadi antara punca yang menyebabkan sebahagian kawasan lautan terbakar di Teluk Mexico pada 2 Julai lalu.

Syarikat Petroleos Mexicanos (Pemex) berkata pada Isnin lalu bahawa ribut hujan dan kilat yang berlaku pada hari Jumaat lalu menyebabkan pihaknya terpaksa menutup stesen pam sebuah pelantar minyak dekat dengan lokasi kebakaran tersebut.

Cuaca buruk juga berlaku ketika sebatang paip di bawah lautan bocor sehingga mengakibatkan gas asli terlepas ke permukaan lautan di Teluk Mexico itu.

Justeru, kata syarikat tersebut, kebakaran di lautan itu kemungkinan disebabkan oleh kilat.

Dalam pada itu, Pemex turut menjelaskan ia menghantar bot-bot untuk memadamkan kebakaran tersebut dengan menggunakan air dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

Bahan nitrogen juga dipercayai digunakan dalam proses memadamkan kebakaran itu.

Kejadian itu berlaku dekat pelantar minyak Ku-Maloob-Zaap dan tiada tumpahan minyak mentah berlaku ketika kebakaran tersebut berlaku.

Menurut Pemex, ia kemudian melakukan kerja-kerja pembaikan pada pam yang rosak itu dan sedang menyiasat punca menyebabkan gas asli tersebut bocor.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran di lautan itu berlaku hanya beberapa meter dari telaga minyak milik syarikat tersebut di Teluk Mexio.

Syarikat Pemex kemudian mengesahkan kebakaran di lautan tersebut berjaya dipadamkan dalam tempoh lima jam dengan beberapa buah bot terlibat dalam operasi pemadaman itu. - Agensi