Melaka United optimis bangkit baki saingan Liga Super

Zainal Abidin Hassan
Zainal Abidin Hassan
A
A
A

MELAKA United optimis mampu memberi tentangan sengit pada baki saingan Liga Super musim ini, selepas berjaya membentuk keserasian dalam kalangan pemain lama dan baharu menerusi kem latihan pusat secara dalam kuarantin.

Kem latihan pusat yang berlangsung dari 19 Jun hingga 3 Julai lalu di Paya Rumput itu, dijalankan secara gelembung sukan bagi mempersiapkan skuad

Melaka United yang mendapat khidmat beberapa pemain baharu yang dibawa masuk pada jendela perpindahan pemain baru-baru ini.

Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata, latihan selama dua minggu itu berjalan lancar dan menjadi medan kepada barisan pemain mempertingkatkan tahap permainan dan persefahaman sebelum saingan Liga Super dijadualkan bersambung semula pada 24 Julai depan.

“Para pemain mempamerkan kesungguhan dan keserasian mereka dalam tempoh latihan ini, kami juga lebih mengenali satu sama lain.

“InsyaALLAH kita percaya pasukan ini mampu menjadi lebih mantap dan bangkit pada baki perlawanan liga seterusnya nanti,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Sementara itu, barisan pemain skuad Melaka United mengakui mereka lebih mencapai persefahaman selepas mengikuti kem latihan berkenaan.

Penjaga gawang Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat berkata, ia juga dapat memperkuatkan kerjasama dengan kehadiran pemain baharu dalam pasukan seperti Andriano Gomez dan Gary Steven Robbat.

Artikel Berkaitan:

“Kami harap pasukan ini dapat bekerja keras untuk membantu Melaka United berada dalam kedudukan yang lebih baik dalam saingan liga nanti,” katanya.

Penyerang berasal dari Haiti Sony Norde pula berkata, latihan dua minggu berjalan lancar dengan kesemua pemain memberi sepenuh fokus dalam memantapkan corak permainan pasukan walaupun dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata, dengan situasi pandemik Covid-19 yang agak membimbangkan, pemain berusaha sedaya upaya untuk memberi yang terbaik dan memastikan kekal cergas bagi menghadapi saingan liga.

Melaka United kini menghuni tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam kempen Liga Super selepas mengutip 11 mata daripada 13 perlawanan. - Bernama