Harap ada sinar

Baddrol (kanan) sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan berhubung status penganjuran Piala AFC musim ini.
FOTO: FB MFL
Baddrol (kanan) sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan berhubung status penganjuran Piala AFC musim ini. FOTO: FB MFL
A
A
A

KAPTEN Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar percaya masih ada sinar tatkala harapan untuk beraksi di pentas Piala AFC 2021 hampir terkubur susulan ketiadaan tuan rumah untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

Selepas Singapura menarik diri, Piala AFC Zon ASEAN dilihat berdepan kesukaran kerana sehingga kini masih tiada mana-mana negara yang menawarkan diri untuk menganjurkan kejohanan itu yang sepatutnya bermula pada 29 Jun lalu.

Meskipun kejohanan itu dilihat hampir pasti terpaksa dibatalkan, Baddrol merasakan tidak salah untuk mereka terus positif agar ia dapat diteruskan, apatah lagi selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan kelab Kemboja, Visakha dan wakil Timor Leste, Lalenok United akan menyertai saingan Kumpulan I yang terdiri daripada wakil Malaysia, Terengganu FC (TFC) dan Singapura, Geylang International.

Namun, sekiranya hasrat mereka untuk beraksi tidak kesampaian, pasukan harus menerima dengan hati terbuka dan fokus untuk saingan Liga Super serta Piala Malaysia.

“Masa mula-mula dengar berita, memang rasa sedikit kecewa sebab kita sudah lama melakukan persiapan ini, jadi kalau memang batal juga, nak buat macam mana.

“Cuma kami cuba untuk positif lagi dan berharap kerana selepas ada kelab dari Kemboja dan Timor Leste sertai Kumpulan I, mungkin ada sedikit sinar untuk kita katakan mereka boleh jadi tuan rumah atau tidak.

“Tetapi apa-apa pun kita tunggu sahaja dan kalau memang sudah pasti ia dibatalkan, kerja keras tetap perlu dilakukan untuk fokus kepada Liga Super dan Piala Malaysia,” jelasnya.

Pemain berusia 33 tahun ini baru sahaja pulih daripada kecederaan pangkal paha dan akan kembali menjalani sesi latihan penuh dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kecederaan yang dialami hanyalah kecil dan tidak memakan masa yang lama untuk kembali pulih sepenuhnya bagi meneruskan latihan bersama pasukan.

“Betul, saya ada cedera sedikit baru-baru ini, tetapi tidaklah terlalu serius dan sekarang pun rasanya sudah semakin baik seperti biasa.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan dan saya tetap fokus kepada latihan seperti biasa kerana saingan liga juga sudah semakin dekat,” tambahnya.

Dalam saingan Piala AFC 2021, KDA FC berada dalam Kumpulan H bersama-sama Lion City Sailors FC, Saigon FC dan Persipura Jayapura.