102 individu terlantar mula divaksin di Selangor

Dr Murallitharan (kanan) bersama pesakit dan keluarga selepas memberikan suntikan vaksin dalam Program Vaksinasi Rumah ke Rumah.
Dr Murallitharan (kanan) bersama pesakit dan keluarga selepas memberikan suntikan vaksin dalam Program Vaksinasi Rumah ke Rumah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 102 pesakit terlantar menerima suntikan vaksin melalui Program Vaksinasi Rumah ke Rumah di Selangor yang bermula Selasa.

Pelaksanaan bermula di Hulu Langat itu merupakan inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan dan komuniti bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara NGO terlibat ialah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MYWATCH), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Yayasan myNadi.

Wakil program berkenaan, Dr Murallitharan Munisamy berkata, individu yang divaksin di bawah program tersebut terdiri daripada pesakit terlantar, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kanser.

“Program ini akan diperluaskan di seluruh Selangor dalam tempoh kira-kira tiga minggu lagi sebelum dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Isnin.

Dr Murallitharan yang juga Pengarah Urusan NCSM memaklumkan pelaksanaan program tersebut dipantau dan dikawal selia oleh KKM, Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Protect Health Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

Dr Murallitharan memberikan suntikan vaksin kepada seorang pesakit dalam Program Vaksinasi Rumah ke Rumah.
Dr Murallitharan memberikan suntikan vaksin kepada seorang pesakit dalam Program Vaksinasi Rumah ke Rumah.

Pada masa sama, beliau meminta supaya penjaga kepada pesakit kronik yang uzur dan terlantar atau OKU untuk segera mendaftar di bawah program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Pendaftaran boleh dilakukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Klinik Kesihatan terdekat

“Kami juga ada menyediakan borang permohonan pendaftaran atas talian melalui ‘Google Form’ dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu melalui pautan di bit.ly/indvcncsmBM, Inggeris (bit.ly/indvcncsm), Mandarin (bit.ly/indvcncsmCH) dan Tamil (bit.ly/indvcncsmTL),” ujarnya.

Beliau berkata berkata, jumlah mereka yang perlu diberikan suntikan vaksin di rumah dianggarkan tiga kali ganda lebih besar daripada rekod pendaftaran di bawah JKM dan KKM yang ketika ini berjumlah antara 20,000 hingga 25,000 individu.

Dalam pada itu, beliau menambah, pihaknya juga masih memerlukan penyertaan sukarelawan yang terdiri daripada profesional kesihatan seperti doktor, jururawat, pembantu pegawai perubatan dan orang awam bagi tujuan itu.

Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh didapati di emel help@cancer.org.my atau talian telefon bebas tol di 1800-88-1000.