Pesawat 'hilang' disahkan terhempas, 28 penumpang terkorban

Pesawat enjin berkembar itu dipercayai terhempas ketika cuba mendarat sewaktu cuaca buruk pada Selasa. - Foto: AFP
Pesawat enjin berkembar itu dipercayai terhempas ketika cuba mendarat sewaktu cuaca buruk pada Selasa. - Foto: AFP
A
A
A

MOSCOW - Tiada mangsa terselamat. Pengesahan itu dibuat selepas penyelamat berjaya menemui serpihan bangkai pesawat An-26 yang terhempas di wilayah Timur Jauh di Rusia pada Selasa.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijangka berdepan kesukaran kerana landskap geografi lokasi nahas dan keadaan cuaca buruk,” ujar jurucakap pihak berkuasa sambil menambah serpihan bangkai pesawat enjin berkembar berkenaan ditemui di pantai Pasifik di wilayah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMAS KINI] Pesawat bawa 28 penumpang, kru hilang di timur Rusia

Penemuan itu dibuat setelah operasi carian diperluaskan beberapa jam selepas pesawat yang membawa 28 penumpang dilaporkan hilang di Semenanjung Kamchatka pada jam 2.40 petang (waktu tempatan) setelah ia berlepas dari bandar Petropavlovsk-Kamchatsky menuju ke Palana.

Sementara itu, jurucakap pejabat pendakwa raya pengangkutan tempatan, Valentina Glazova mengesahkan operasi SAR yang turut disertai beberapa helikopter dan pesawat peronda maritim Il-38 sedang giat dijalankan.

“Komunikasi dengan pusat kawalan trafik udara terputus secara tiba-tiba ketika ia berada pada jarak sembilan kilometer dari Lapangan Terbang Palana dan kira-kira 10 minit sebelum ia dijadualkan mendarat.

“Lokasi carian adalah dalam zon lingkungan 15-25 kilometer sekitar lapangan terbang tersebut dan memfokuskan Laut Okhotsk.

"Beberapa laporan media mendakwa pesawat itu terhempas di cenuram ketika ia cuba mendarat akibat jarak penglihatan yang rendah berikutan cuaca buruk sebelum terjunam ke dalam laut,” jelasnya.

Difahamkan, empat pegawai kerajaan tempatan dan ketua bandar Palana, Olga Mokhiryova bersama anaknya antara mangsa penumpang yang berada dalam pesawat itu.

Pesawat terlibat nahas itu dihasilkan pada 1982 dan siasatan awal mendapati ia berada dalam keadaan baik selain disahkan lulus ujian pemeriksaan keselamatan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Info:

- Pesawat An-26 yang dihasilkan dari 1969 hingga 1986 ketika era Kesatuan Soviet masih digunakan negara bekas anggota USSR sebagai pengangkutan orang awam dan tentera. Sejak beberapa tahun lalu, beberapa nahas melibatkan pesawat itu telah dilaporkan.

- Pada Mac lalu, empat terkorban selepas pesawat An-26 terhempas ketika mendarat di lapangan terbang di bandar Almaty, Kazakhstan.

- Dua nahas terbaharu tentera Rusia turut membabitkan pesawat An-26 yang meragut 40 nyawa.