Komuniti permotoran kembali ceria

Kejuaraan Cub Prix dijadulkan disambung kembali pada Ogos.
Kejuaraan Cub Prix dijadulkan disambung kembali pada Ogos.
A
A
A

KOMUNITI sukan permotoran tanah air lega dengan kebenaran yang diberikan kerajaan untuk menganjurkan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 di kawasan yang telah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg berharap saingan Cub Prix dapat disambung kembali pada Ogos dan pihaknya merancang mengadakan pusingan ketiga serta keempat di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.

Beliau berkata, kos penganjuran juga meningkat berlipat ganda kerana perlumbaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam fasa kedua PPN termasuk menerusi konsep gelembung sukan dan melakukan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi setiap individu terlibat.

“Setiap ujian RTK dijangka menelan kos lebih kurang RM60 selain kita perlu mencari penempatan di satu atau dua hotel yang sama kepada lebih kurang 600 orang yang terlibat dengan gelembung itu. Kita ada masa yang cukup untuk persediaan pelumba, kru dan jentera jika perlumbaan disambung pada Ogos.

“Kita berharap boleh beralih ke fasa-fasa seterusnya dalam masa terdekat supaya perlumbaan diadakan dalam keadaan yang lebih selesa. Harapan juga tinggi supaya memasuki fasa keempat ketika dua pusingan terakhir (9 dan 10) yang membenarkan kehadiran penonton,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Isnin.

Pusingan pertama dan kedua telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Mac dan April sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 pada awal Mei berikutan lonjakan kes Covid-19.

Memandangkan Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis telah beralih ke fasa kedua PPN, Ron berharap keadaan di negeri lain juga akan pulih supaya perlumbaan dapat diadakan dengan SOP lebih longgar pada masa depan.

Fasa keempat PPN membenarkan kehadiran penonton kurang dari 8,000 atau maksimum 25 peratus daripada kapasiti venue.

Artikel Berkaitan:

Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MMRA) dalam satu kenyataan pula merakamkan penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Belia dan Sukan kerana membenarkan penganjuran lumba motosikal kebangsaan itu.

“Gelembung sukan merupakan satu dasar dan perlaksanaan yang yang baik bagi penganjur menjalankan kejohanan negara masih lagi berusaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Kebenaran ini sangat penting untuk perlumbaan ini terus ‘bernyawa’ dan membantu mereka yang mencari pendapatan menerusi industri ini. Kita berharap semua pihak yang terlibat dapat mengikuti SOP yang akan dan telah ditetapkan semasa perlumbaan berlangsung,” menurut kenyataan itu.