X

Kindly register in order to view this article
!

Jurulatih Hup Wei dibenar ikut ke Tokyo 2020

Wei Lee menerima khabar gembira apabila jurulatihnya dibenar mengiringi beliau ke Tokyo 2020. - FOTO: AFP
A
A

ATLET lompat tinggi negara, Lee Hup Wei akhirnya menerima khabar gembira yang dinanti-nantikan, apabila jurulatihnya dibenar mengiringi beliau ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang bermula 23 Julai.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu mengesahkan bahawa jurulatih Hup Wei, Aleksandar Gasparyan akan menyertai atlet berusia 34 tahun itu ke Tokyo, selain pengurus pasukan yang disenaraikan sebelum ini.

“Kita baru mendapat pengesahan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), bahawa permohonan untuk membawa jurulatih diluluskan. Kita harap ini dapat membantu beliau mempamerkan aksi yang lebih baik.

“Kami ingin merakamkan terima kasih kepada Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agung Mohd Nazifuddin Najib, kerana memberi kebenaran membawa jurulatih,” katanya.

KOM sebelum ini menerima kritikan, kerana hanya mahu menghantar pengurus pasukan, S Govindarajoo untuk temasya sukan terbesar dunia itu, dan tidak menyenaraikan Aleksandar.

Datuk SM Muthu
Datuk SM Muthu

Hup Wei, juara Asia 2007, layak ke Tokyo 2020 selepas menempatkan diri di ranking ke-23 Olahraga Dunia dengan 1,235 mata, sekali gus membolehkan Malaysia mempunyai wakil dalam acara lompat tinggi lelaki, untuk empat edisi Olimpik berturut-turut sejak Beijing 2008.

Ini merupakan penampilan ketiga beliau di pentas Olimpik selepas Beijing 2008 dan London 2012.

Seorang lagi atlet olahraga yang turut mendapat peluang beraksi di Olimpik kali ini ialah, Azreen Nabila Alias bagi acara 100m wanita.

“Beliau merupakan atlet muda yang kurang pengalaman. Kita tidak kisah apa jua keputusan yang beliau dapat di sana, pengalaman dan pendedahan yang diperoleh di pentas Olimpik, akan membantu perkembangan kariernya,” kata Muthu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!