X

Kindly register in order to view this article
!

Pendekkan sidang Parlimen satu penipuan, kata Anwar

Anwar Ibrahim
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sidang Parlimen yang akan diadakan semula pada 26 Julai ini sebagai satu bentuk penipuan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, ini kerana kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri berkaitan pelaksanaan sidang tersebut dilihat tidak memenuhi tujuan sebenar Parlimen diadakan.

“Sidang Parlimen selalunya untuk memastikan kerajaan itu ditadbir menurut peraturan tata kelola tadbir urus yang baik supaya jangan ada penyalahgunaan kuasa dan ada semak dan imbang.

“Tapi apa yang cuba dilakukan, saya rasa satu bentuk penipuan kerana memendekkan sidang, menyegerakan kelulusan beberapa undang-undang ordinan termasuk Ordinan Darurat dan tiada petunjuk bahawa akan ada perbahasan yang terbuka,” katanya dalam satu video pendek yang dikongsikan di Facebooknya pada Selasa.

Pada Isnin, kerajaan memaklumkan persetujuannya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri itu, kerajaan bersetuju supaya Dewan Rakyat bersidang selama lima hari iaitu mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, manakala Dewan Negara bersidang selama tiga hari pada 3 hingga 5 Ogos ini.

Pembukaan sidang Parlimen itu bertujuan bagi memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan serta peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut memberi peringatan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan kerajaan bahawa mereka mengambil ringan berkenaan perkara tersebut.

Jelas beliau, persidangan Parlimen sangat penting bagi memastikan persoalan mengenai pandemik Covid-19, peruntukan untuk kebajikan rakyat dan isu penyalahgunaan kuasa dapat dibahaskan.

“Jangan cuba mengguna peraturan secara sesuka hati tanpa menekankan prinsip asas demokrasi berparlimen iaitu menggunakan Parlimen sebagai medan bahas untuk menjaga perlembagaan negara, menyuarakan aspirasi rakyat dan menentukan pemerintahan itu absah dan menjalankan tugas dan kuasa mengikut undang-undang,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!