Empat lelaki mengaku tidak bersalah bunuh bekas pengarah MARDI

Empat lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.
Empat lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Penganggur, M Ravindran, 24; pekerja penghantaran, P Kogilan, 24; juruteknik, T Sugu, 28 dan pengawal keselamatan, S Vickeswaran, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama membunuh Dr Wan Hassan Wan Embong, 73, di rumahnya di Jalan Mambu Bukit Bandaraya di sini antara jam 3.35 dan 4 pagi, pada 29 November 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh, Ravindran mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan mencederakan isteri Wan Hassan iaitu Sarifah Yusof, 70, menggunakan parang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding sama, keempat-empat tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompak secara berkumpulan dengan menggunakan parang dan tukul besi ke atas mangsa lain, seorang jurutera, Mohd Muzaffar Zulkifli Martin, 33, dengan anggaran kerugian sebanyak RM38,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Tiara Titiwangsa, Setapak di sini antara jam 4.12 dan 5.30 pagi pada tarikh sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi kes itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dayana Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Sheelan Arjunan.

Semasa prosiding, Nor Dayana memaklumkan kepada mahkamah, ekoran kes ini mempunyai kepentingan awam, besar kemungkinan ia perlu dibicarakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) sementara Sheelan memohon supaya kes-kes ini dibicarakan bersama.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh bagi pengurusan kes pada 27 Julai ini manakala perbicaraan pada 7 dan 11, 14 hingga 18 serta 21 sehingga 25 Februari 2022.

Pada 29 November 2020, Sinar Harian melaporkan, bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut, manakala isterinya cedera diserang perompak bersenjatakan parang di kediaman mereka di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini.

Mangsa dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesara MARDI maut ditetak perompak

Perompak tetak pesara dipercayai guna laluan belakang: Saksi

Empat lelaki didakwa bunuh bekas pengarah MARDI