MAFI cadang tunggu buah durian gugur baru ambil tindakan

Che Abdullah (tiga dari kanan) melihat tanaman padi di Felcra Seberang Perak selepas mengadakan lawatan kerja di Jelapang Padi Seberang Perak di Pasir Salak pada Selasa.
Che Abdullah (tiga dari kanan) melihat tanaman padi di Felcra Seberang Perak selepas mengadakan lawatan kerja di Jelapang Padi Seberang Perak di Pasir Salak pada Selasa.
A
A
A

PASIR SALAK - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan melihat sebarang keperluan termasuk berunding dengan pihak berkaitan mengenai isu pekebun durian musang king di Raub, Pahang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, beberapa perkara juga akan dilihat antara lain cadangan menunggu buah durian di kawasan itu gugur terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil terhadap pokok durian berkenaan.

Menurutnya, pihak MAFI juga tidak menolak kemungkinan keadaan itu akan menjejaskan pasaran durian ketika ini.

"Macam padi juga, apabila terjejasnya pengeluaran maka sudah tentu terjejas dari segi jumlah eksport dan pasaran tempatan.

"(Tunggu buah gugur dahulu) itu cadangan baik yang kita akan lihat. Biasanya hasil tengah keluar kita akan keluarkan hasil dahulu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Jelapang Padi Seberang Perak di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu pekebun durian musang king di Raub, Pahang.

Pada Ahad lalu, seramai 18 individu dipercayai pekebun haram durian musang king ditahan selepas melakukan provokasi ketika operasi penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang.

Operasi memusnahkan kebun haram durian di Raub dengan agensi kerajaan negeri mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tertumpu di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang berkeluasan kira-kira 101 hektar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai masalah dihadapi petani mendapatkan kebenaran untuk memasarkan hasil pertanian, Che Abdullah mengakui menerima keluhan tersebut.

Menurutnya, pihak MAFI akan cuba mengatasi masalah tersebut dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan