Dua kampung orang asli antara lima lokaliti kena PKPD

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Lima lokaliti di Pahang, Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa pada Khamis sehingga 21 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di Pahang melibatkan dua perkampungan orang asli di Rompin iaitu Kampung Kerpal dan Kampung Pinang.

Menurutnya, PKPD di Sabah pula membabitkan Kampung Sri Menanti, Tawau dan Perkampungan Pulau Gaya, Kota Kinabalu iaitu Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya serta Kampung Pondo.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti terbabit.

“Masing-masing akan berkuatkuasa pada Khamis sehingga 21 Julai 2021. Pelaksanaan PKPD ini juga bertujuan untuk menghalang penularan kes sekali gus mengelakkan jangkitan kepada individu lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di Sarawak membabitkan Kampung Mambong, Kuching apabila KKM melaporkan 19 individu disahkan positif Covid-19 hasil daripada 36 ujian saringan.

Dalam kenyataan sama, beliau memberitahu, lima lokaliti di Sabah bakal menamatkan PKPD mulai Rabu ini.

“Lima lokaliti berkenaan termasuk Kampung Kuala Merotai, Kalabakan, dua di Kunak iaitu Kampung JKR Lama dan Kampung Pangi Hujung, Kampung Kebayau, Kota Belud serta Kampung Likas, Kota Kinabalu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: