UMNO, Pas adik beradik, mana boleh kahwin

A
A

UMNO, Pas adik beradik, mana boleh kahwin

UMNO dan Pas boleh bersatu semula sebagai adik-beradik, untuk mengejar matlamat menegakkan Islam dan penyatuan bangsa Melayu tanpa membentuk sebuah parti gabungan.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, kedua-dua parti orang Melayu terbesar ini berjuang mengikut cara dan kaedah masing-masing namun pada masa yang sama memfokuskan kepada satu matlamat.

Kata Annuar sekalipun sejak sekian lama, UMNO dan Pas sering berbeza pendapat dalam banyak hal tetapi perjuangan kedua-dua parti tetap sama iaitu mempertahankan maruah dan kepentingan umat Islam serta Melayu.

Sehubungan itu katanya, kedua-dua parti tersebut perlu bersatu semula sebagai adik-beradik, katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 hadirin pada ceramah perdana anjuran bersama Pas dan UMNO Melaka bertajuk ‘Islam Memimpin’ di Dewan Muallim Bukit Katil malam semalam, yang turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ambil alih tol dalam rundingan, tidak boleh didedah: Azmin

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkritik Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang menggesa kerajaan mendedahkan pembiayaan dan kos rancangan mengambil alih konsesi tol daripada Gamuda Berhad.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, ini disebabkan pengambilalihan tol berkenaan masih di peringkat rundingan.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pengguna di 4 lebuh raya akan menikmati kadar tol diskaun 30% bagi pengunaan waktu biasa, selepas konsesi lebuh raya berkenaan diambil alih oleh kerajaan susulan rundingan dengan syarikat konsesi, Gamuda Berhad.

Empat lebuhraya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Menurut kenyataan itu lagi, bayaran tol di 4 lebuh raya itu dihapuskan sama sekali antara jam 11 malam dan 5 pagi, sementara pengguna masa puncak selama 6 jam sehari dikenakan caj kesesakan yang bersamaan dengan kadar bayaran tol sedia ada.

Pengesahan SPRM bukti Pas difitnah: Takiyuddin

Pengesahan SPRM tiada dana RM90 juta dimasukkan ke akaun Pas membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepada parti itu adalah satu pembohongan, fitnah liar dan perancangan jahat untuk memburukkan imej Pas.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya ada lagi pihak yang meneruskan fitnah seumpama itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull semalam berkata, siasatan setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan dana 1MDB ke dalam akaun Pas.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut sama ada siasatan terhadap Pas akan ditutup, susulan daripada pengesahan tersebut.

PDRM siasat tiga kes hina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam

PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat, menyebarkan atau berkongsi sebarang kenyataan jelik yang boleh menggugat ketenteraman awam serta menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama juga kaum di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat hari ini, sebanyak tiga kertas siasatan bersabit kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan istri, Saidatina Aisyah telah dibuka.

Katanya, sehingga semalam, sejumlah 478 laporan polis telah diterima berhubung kes penghinaan melalui kata-kata dan infografik oleh pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai dan suspek berusia 68 tahun itu telah ditangkap pada 19 Februari serta direman selama tiga hari hingga 22 Februari lalu.

Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya turut menerima 11 laporan polis berhubung kes kata-kata hinaan oleh pemilik akaun Facebook, Sarkar Tanesan terhdap Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dengan perkataan yang jelik.

Lelaki cuba rampas pesawat ditembak mati komando Bangladesh

Seorang lelaki yang cuba merampas pesawat penumpang semasa dalam penerbangan menuju ke Dubai, ditembak mati komando Bangladesh.

Suspek, yang digambarkan pegawai sebagai lelaki Bangladesh berusia 25 tahun, ditembak mati semasa pasukan khas merempuh masuk pesawat terbabit sejurus mendarat di Chittagong.

Pegawai berkata, kesemua 148 penumpang dan anak kapal pesawat Bangladesh Biman BG147 dilaporkan selamat.

Jurucakap tentera Mejar Jeneral Motiur Rahman berkata suspek yang merupakan rakyat Bangladesh cedera parah disahkan meninggal dunia selepas dia ditangkap.

Tambahnya, semua penumpang berjaya dipindahkan selepas lapangan terbang ditutup oleh Tentera Darat, Tentera Laut dan polis elit.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia