Langgar SOP, beberapa individu termasuk Mahfuz akan diambil keterangan

Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena langgar SOP.
Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena langgar SOP.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis dalam proses mengambil keterangan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar sudah mengenal pasti beberapa orang lagi dalam gambar sama serta akan memanggil mereka untuk diambil keterangan.

"Malam ini atau esok akan diambil keterangan, kita dah buat janji temu dengan beberapa saksi untuk dirakam keterangan mereka," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan berhubung perkara itu akan disiapkan seberapa segera.

"Kita akan seberapa segera untuk siapkan siasatan, lepas siap siasatan, kita akan bawa ke pihak pendakwaraya," jelasnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan terhadap Mahfuz berhubung dakwaan melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa Satu.

Ia susulan beberapa gambar yang tular di media sosial memaparkan bekas timbalan menteri itu hadir pada program bantuan tanpa mengamalkan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang duduk bersila secara santai sambil menikmati jamuan.

Mahfuz ketika dihubungi memaklumkan bersedia memberikan kerjasama kepada polis berhubung dakwaan yang dikaitkan dirinya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwa langgar SOP, Ahli Parlimen Pokok Sena disiasat