X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Zii Jia pembawa Jalur Gemilang di Tokyo 2020

Zii Jia taruhan dalam menyuntik semangat atlet-atlet kontinjen negara apabila diumumkan sebagai pembawa Jalur Gemilang di Tokyo 2020. Gambar kecil: Norza
A
A

AURA juara Seluruh England, Lee Zii Jia sekali lagi menjadi taruhan dalam menyuntik semangat atlet-atlet kontinjen negara apabila diumumkan sebagai pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik Tokyo 2020 menggantikan pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad.

Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, pemilihan jaguh badminton perseorangan lelaki negara berusia 23 tahun kelahiran Alor Setar itu mendapat persetujuan dalam kalangan ahli lembaga eksekutif badan induk tersebut.

“Ahli Lembaga Eksekutif MOM bersetuju memilih Zii Jia selepas Khairul Anuar sebelum ini meminta untuk menarik diri sebagai pembawa bendera kontinjen negara di Olimpik Tokyo.

“Zii Jia yang juga antara atlet berpotensi memenangi pingat di Olimpik Tokyo akan mewakili atlet lelaki untuk membawa Jalur Gemilang pada temasya sukan terbesar dunia itu kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Khairul Anuar atlet berusia 29 tahun dari Kemaman, Terengganu sebelum ini dilaporkan menolak pelawaan menjadi pembawa Jalur Gemilang di Tokyo 2020 selepas mendakwa berdepan kepadatan jadual pada temasya tersebut.

Pada 3 Mei lalu, MOM memilih Khairul Anuar dan pemain badminton beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying untuk mengalas tanggungjawab tersebut.

Dalam pada itu, Zii Jia yang mengakui terkejut dengan pemilihan itu berharap perkhabaran gembira tersebut akan melonjak semangatnya untuk memberikan aksi terbaik di Tokyo 2020.

“Terima kasih MOM termasuk Presiden, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih saya sebagai pembawa bendera di Tokyo,” ujar Zii Jia dalam satu video dikongsi kepada media pada Selasa.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!