Agong zahir ucapan tahniah kepada kontinjen negara ke Tokyo

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Reezal Merican sebagai tanda simbolik penerimaan bagi pihak kontinjen negara yang akan bertanding di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Reezal Merican sebagai tanda simbolik penerimaan bagi pihak kontinjen negara yang akan bertanding di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara atas kejayaan mereka melayakkan diri untuk bersaing di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar atlet negara dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka bagi menjulang nama Malaysia di persada tertinggi dunia itu.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan agar atlet dan pegawai sentiasa berwaspada dalam menjaga kesihatan diri ketika berada di kedua-dua temasya yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos bagi Sukan Olimpik dan 24 Ogos hingga 5 September bagi Sukan Paralimpik.

“Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda mendoakan semoga atlet-atlet negara mencapai sasaran yang telah ditetapkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” demikian menurut hantaran itu.

Menerusi hantaran sama, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Istana Negara hari ini.

Pada sesi menghadap itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan mengurniakan Jalur Gemilang kepada Reezal Merican sebagai tanda simbolik penerimaan bagi pihak kontinjen negara yang akan bertanding di kedua-dua temasya.

Hadir sama Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin.

Pada sesi sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai persediaan dan penyertaan kontinjen negara di kedua-dua temasya tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: