Penemuan Thismia sitimeriamiae dapat liputan media antarabangsa

Penemuan spesies baharu Thismia atau Tanglung pari-pari dengan nama saintifik Thismia sitimeriamiae mendapat liputan meluas di seluruh dunia.
Penemuan spesies baharu Thismia atau Tanglung pari-pari dengan nama saintifik Thismia sitimeriamiae mendapat liputan meluas di seluruh dunia.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Spesies tumbuhan berbunga baharu dengan nama saintifik Thismia sitimeriamiae yang julung kali dijumpai di Terengganu pada 2019 menarik minat saintis, pakar botani serta mendapat liputan meluas media antarabangsa.

Tumbuhan unik dikenali sebagai tanglung pari-pari (fairy lantern) daripada kategori tumbuhan berbunga (angiosperma) kecil yang tumbuh di kawasan tanah berhutan itu ditemukan di laluan ke Gunung Sarut, Hutan Lindung Hulu Nerus.

Ia dinamakan Thismia sitimeriamiae oleh penyelidik University of Oxford Botanic Garden and Arboretum dan penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sempena nama Siti Meriam Abd Kadir, 76, iaitu ibu jurugambar dan penyelidik bebas dari Terengganu, Suzairi Zakaria, 45.

Nama itu diberi hasil dorongan dan sokongan ibu jurugambar berkenaan atas usaha beliau memulihara pelbagai spesies tumbuhan terancam di Terengganu.

Menurut perkongsian Suzairi atau lebih dikenali dengan nama pena Dome Nikong, penemuan baharu itu mendapat liputan lebih 20 negara antaranya United Kingdom (UK), Itali, Rusia, China, Indonesia, Turki, Armenia dan lain-lain.

Katanya, beliau turut teruja apabila spesies baharu itu menarik perhatian ramai sekali gus mengangkat Terengganu sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.

“Saya terharu dan gembira apabila dapat bekerjasama dengan penyelidik dari Oxford bagi merekodkan penemuan spesies baharu Thismia sekali gus dapat menaikkan nama Terengganu dan Malaysia.

“Kisah penemuan tumbuhan ini juga mendapat liputan pelbagai portal berita dari seluruh dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Saiz Thismia sitimeriamiae yang mendiami kawasan lantai hutan hampir sebesar syiling 20 sen.
Saiz Thismia sitimeriamiae yang mendiami kawasan lantai hutan hampir sebesar syiling 20 sen.

Dalam pada itu, Suzairi berkata, beliau mula aktif dengan penyelidikan Thismia pada 2018 dengan kerjasama salah seorang penyelidik iaitu pakar botani FRIM, Siti Munirah Mat Yunoh.

Katanya, proses merekod spesies baharu yang ditemui biasanya memakan masa kerana perlu melalui beberapa proses selain berdepan beberapa cabaran dalam usaha menjejaki tumbuhan itu di kawasan hutan.

“Setiap spesies yang ditemui akan dibandingkan dengan spesies sedia ada bagi menentukan statusnya sama ada ia baharu atau sudah mempunyai nama.

“Thismia boleh ditemui ketika musim monsun atau musim hujan. Keadaan ini juga agak menyukarkan kita kerana terdapat pelbagai cabaran di dalam kawasan hutan.

“Pencarian Thismia perlu dilakukan secara berhati-hati kerana saiznya yang kecil dan kebanyakannya terlindung di bawah dedaun kering. Setakat ini kita kenal pasti kebanyakan habitatnya berhampiran sumber air, namun ada juga yang mendiami kawasan berbukit dan tanah tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan panduan oleh senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), kebanyakan tumbuhan itu dikategorikan sebagai spesies terancam.

Sehubungan itu, khazanah biodiversiti itu perlu dipelihara supaya tidak pupus begitu sahaja ekoran penerokaan hutan atau pembalakan secara tidak terkawal.

“Hutan Terengganu merupakan hutan yang sangat istimewa. Di samping banyak tumbuhan yang hanya boleh dijumpai di Terengganu (endemik), kelompok tumbuhannya dikatakan menyerupai kelompok tumbuhan di Borneo.

“Jika lebih banyak eksplorasi dibuat tidak mustahil lebih banyak spesies baharu yang ditemui. Ketika ekspedisi saintifik di Taman Negeri Kenyir tahun lalu saya menemui dua spesis baharu yang masih dalam proses untuk dihuraikan secara sainstifik dan diberi nama rasmi,” katanya.

Terdahulu, Siti Munirah Mat Yunoh bersama penyelidik University of Oxford Botanic Garden and Arboretum, Dr Chris Thorogood dan Suzairi bekerjasama dalam merekodkan penemuan baharu itu.

Suzairi Zakaria bersama spesies baharu Thismia, Thismia sitimeriamiae yang dinamakan sempena nama ibunya, Siti Meriam Abd Kadir.
Suzairi Zakaria bersama spesies baharu Thismia, Thismia sitimeriamiae yang dinamakan sempena nama ibunya, Siti Meriam Abd Kadir.

Tumbuhan daripada spesies Thismia atau Tanglung pari-pari merupakan tumbuhan unik yang mendiami kawasan lantai hutan belantara. Ia yang tidak menjalankan fotosintesis malah mengamalkan hubungan simbiosis dengan kulat yang membekalkan makanan (habit mikoriza) bagi tujuan kitaran hidup.

Sehingga kini, terdapat 39 spesies Thismia dijumpai di Malaysia, 16 daripadanya di Semenanjung Malaysia. Para pengkaji masih menjalankan kajian berhubung taburan spesies dan biologi tumbuhan ini secara lebih mendalam.

Selain itu, Siti Munirah juga telah menerbitkan beberapa kajian spesies baharu iaitu Thismia belumensis, T. domei, T. terengganuensis dan T. kelantanensis.